Thursday 22 June 2017

Puteri UMNO Kepala Batas Edar Daun Palas Percuma


Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas hari ini turun padang sempena kedatangan 1 Syawal dalam program edaran daun palas percuma dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas.

Program edaran daun palas tersebut dijalankan di Pasar Khamis Penaga , Kepala Batas awal pagi tadi dan mendapat sambutan daripada orang ramai yang hadir ke pasar terbabit bagi membeli barangan keperluan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba pada hari Ahad nanti.

Nurul Haida Mahamad selaku Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pulau Pinang ternyata gembira dengan sambutan daripada orang ramai selain bersyukur kerana dapat berkongsi kemeriahan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Salah seorang pengunjung Pasar Khamis Penaga yang ditemui Penang Online menyatakan rasa cerianya dan mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas dengan program yang dijalankan.

Walaupun ianya agak berbeza kerana yang diedarkan adalah daun palas tetapi keceriaan dan keakraban ternyata begitu jelas terlihat khususnya dalam suasana menantikan kedatangan Aidilfitri.

Apatah lagi daun palas sememangnya menjadi pilihan utama masyarakat Melayu dan orang Islam yang menyambut Aidilfitri.

Sebanyak 2600 daun palas habis diedarkan kepada pengunjung sepanjang program tersebut dijalankan. 

0 comments:

Post a Comment