Friday 30 June 2017

Ringgit Paling Stabil Di Asia


KUALA LUMPUR - Ringgit merupakan nilai mata wang Asia paling kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk sepanjang suku kedua tahun ini, di sebalik pelbagai dakwaan negatif yang dilemparkan terhadap kepemimpinan negara ini.

Mengikut data yang dikumpul oleh syarikat media ekonomi antarabangsa, Bloomberg, ringgit meningkat hampir tiga peratus berbanding dolar AS antara April hingga Jun, mengatasi prestasi yang dicatatkan oleh mata wang negara-negara Asia lain.


Menurut Bloomberg, pengukuhan eksport serta rekod pertumbuhan ekonomi yang tinggi pada suku pertama 2017 telah menarik semula minat pelabur-pelabur asing untuk kembali membeli aset-aset saham dan bon Malaysia, meskipun negara diserang dengan pelbagai dakwaan buruk mengenai syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dengan mendapatkan ulasan beberapa penganalisis pasaran, Bloomberg melihat prestasi ekonomi positif ditunjukkan itu telah mengatasi laporan-laporan negatif berhubung isu yang dikaitkan dengan 1MDB, termasuk tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) AS terhadap syarikat itu.

Pengurus Dana Pioneer Investment Management Ltd. yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Hakan Aksoy berkata, walaupun masih ada kebimbangan mengenai situasi politik di negara ini, namun beliau merasakan prospek Malaysia semakin positif berdasarkan persekitaran ekonomi semasa.

“Selagi kita melihat penambahbaikan terhadap data-data ekonomi serta sokongan dari segi kestabilan global dan harga tenaga, kami sentiasa berpendirian positif terhadap Malaysia,” katanya kepada Bloomberg.

Sepanjang tahun ini, pelabur-pelabur antarabangsa telah membelanjakan AS$2.48 bilion (RM10.61 bilion) untuk membeli saham-saham di Malaysia, sekali gus menjadi negara paling tinggi menerima masuk aliran modal asing di Asia Tenggara.

Berdasarkan data yang dikumpul oleh Bloomberg, ringgit berprestasi paling baik jauh meninggalkan mata wang kedua paling kukuh, Renminbi China yang hanya mengukuh sekitar 1.5 peratus berbanding dolar AS, sementara nilai mata wang Korea Selatan, Jepun, Indonesia dan Singapura terus merosot atau meningkat secara tidak memberangsangkan.

Pengarah firma pelaburan Schroder Investment Management Ltd., Manu George dalam laporan itu berkata, apabila pelabur-pelabur mahu menempatkan aset di Malaysia, mereka akan lebih mengutamakan soal ekonomi berbanding isu-isu politik.

“Sikap pelabur itu juga memberi manfaat kepada ringgit kerana melihatkan prospek ekonomi negara yang baik. Faktor-faktor utama yang mempengaruhi pelabur ialah keadaan kewangan negara, dasar-dasar Bank Negara Malaysia (BNM), dasar ekonomi yang menarik dan kaitan rapat dengan perkembangan ekonomi negara-negara maju dan China,” katanya yang berpangkalan di Singapura.

Mata wang negara catat kenaikan hampir 3 peratus berbanding dolar AS. - Utusan

0 comments:

Post a Comment