Tuesday 6 June 2017

Sifir Politik Pembangkang : Lempar Tuduhan Dulu, Betul Atau Tidak Betul Tidak Penting


PULAU PINANG – Naib Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Jasmin Noordin meminta rakyat di negara ini sedar bahawa modus operandi pembangkang hari ini adalah dengan melemparkan tuduhan demi tuduhan tanpa mengemukakan sebarang bukti bertujuan untuk menimbulkan syak wasangka dan kekeliruan di pemikiran rakyat berhubung ketelusan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini.

Menurut beliau, pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap BN selama ini dilemparkan oleh pihak pembangkang, namun apa yang jelas mereka tidak dapat mengemukakan bukti yang kukuh dan meyakinkan terhadap segala tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan itu.

“Inilah modus operandi pembangkang dalam usaha mereka untuk mengelirukan rakyat serta menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan. Mereka akan buat kenyataan, sama ada kenyataan akhbar ataupun di media sosial berhubung pelbagai tuduhan, namun ternyata tuduhan yang dilemparkan mereka itu tidak disertai dengan bukti yang kukuh.

“Sebaliknya, apabila kerajaan menafikan segala tuduhan mereka itu, maka mereka pula yang meminta bukti daripada kerajaan untuk membuktikan bahawa segala tuduhan mereka itu tidak betul, sedangkan tanggungjawab untuk memberikan pembuktian sebenarnya adalah tanggungjawab mereka, iaitu pihak yang menuduh”

Ujar beliau biarpun kerajaan telah menjawab boleh kata semua tuduhan mereka seperti isu 1MDB, isu dana politik dan lain-lain isu lagi, mereka hanya memekakkan telinga dan tidak mahu menerimanya, sebaliknya beralih pula kepada tuduhan yang lain.

“Ini jelas membuktikan bahawa mereka ini hanya mahu melemparkan tuduhan semata-mata untuk mewujudkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan tanpa mengambil kisah apa juga jawapan dan bukti yang diberikan oleh kerajaan terhadap tuduhan-tuduhan tersebut.

“Apa yang penting bagi pihak pembangkang ialah mengelirukan rakyat serta mencemar imej kerajaan dengan tuduhan yang mereka lemparkan, tidak kira ianya betul atau tidak,” tegasnya.

Justeru itu, beliau menyeru rakyat agar tidak menelan bulat-bulat segala tuduhan yang dibuat oleh kepimpinan pembangkang terhadap kerajaan dan segala dakwaan pihak pembangkang itu perlulah diteliti sejauh mana kebenarannya.

“Salah satu contoh pemimpin pembangkang paling popular dalam tuduh menuduh dan membuat tohmahan ini ialah Rafizi Ramli. Beliau merupakan contoh terbaik bagaimana pihak pembangkang menjalankan modus operandi untuk melemparkan tuduhan terlebih dulu, tanpa mempedulikan tentang bukti yang menyokong tuduhan mereka itu.

“Kita lihat bagaimana Rafizi memfitnah NFC Corporation sehingga menyebabkan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Jalil meletakkan jawatannya sebagai menteri. Namun setelah dibawa ke mahkamah, ternyata tuduhan Rafizi itu tidak berasas dan beliau didapati bersalah kerana memfitnah NFC Corporation.

“Begitu juga dengan isu terbaru apabila beliau menuduh seorang wanita bernama Florence Goh yang dikaitkan dengan isu lobi melobi presiden AS, Donald Trumph bagi pihak Putrajaya. Akhirnya beliau memohon maaf kepada wanita tersebut dengan menyatakan kesilapannya. Dan ini bukan kali pertama beliau tersilap atau terfitnah, bahkan sudah berkali-kali beliau berbuat demikian dalam usaha untuk memburukkan imej kepimpinan kerajaan.

“Sebab itu, kita sebagai rakyat mesti menolak pendekatan politik yang berteraskan fitnah dan tohmahan sepertimana yang dilakukan oleh pembangkang hari ini. Fitnah dan tohamahan yang dijadikan senjata oleh mereka itu amat merbahaya dan tidak sesuai untuk iklim politik di negara ini yang berbilang kaum dan agama,” tegasnya.

0 comments:

Post a Comment