KUALA LUMPUR, 16 Jun – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan anggota dan penyokong pembangkang yang sanggup mengetepikan kedaulatan negara apabila menggunakan kuasa asing untuk mencampuri urusan politik negara.
Beliau berkata mereka yang tidak bertanggungjawab ini sanggup memanipulasi saman sivil terbaru yang dikemukakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sebagai satu senjata politik semata-mata untuk menjatuhkan pemimpin negara dan menjayakan matlamat peribadi masing-masing.
“Mereka lakukan perkara sedemikian pada Julai tahun lalu tetapi gagal dan mereka mencuba lagi pada tahun ini.
“Saya yakin sungguh mereka akan menggunakan perkara sama pada pilihan raya umum akan datang iaitu mereka membuat manipulasi menggunakan isu ini (saman sivil DoJ) untuk mencemarkan imej negara dan merosakkan nama baik perdana menteri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Salleh menegaskan bahawa pihak Peguam Negara telah berkali-kali sebelum ini menegaskan bahawa siasatan yang dibuat menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat dalam dakwaan aktiviti pengubahan wang haram seperti yang terkandung dalam saman sivil DoJ itu dan malahan tidak wujud apa-apa bukti yang berasas untuk apa-apa tindakan mahkamah.
Salleh yang juga Bendahari UMNO Malaysia berkata masyarakat negara ini seharusnya faham bahawa siasatan oleh DoJ merupakan satu proses biasa di Amerika Syarikat dan ia tidak membuktikan kesahihan sesuatu dakwaan selagi perkara itu tidak diputuskan oleh mahkamah.
“Tetapi ada pihak di Malaysia ini mengambil kesempatan (atas laporan DoJ). Sudah tentu ia (tuduhan) tidak disiasat jika tidak ada dakwaan daripada orang Malaysia sendiri.
“Terbukti ada orang Malaysia telah pergi ke Amerika Syarikat membuat dakwaan di negara itu, sedangkan Malaysia sendiri mempunyai undang-undang,” katanya.
Menurut Salleh pihak pembangkang sekarang dalam keadaan tenat serta terdesak dan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kelangsungan politik walaupun perbuatan itu diketahui sebagai keji dan kotor.
Katanya, pembangkang melakukan perbuatan ini semata-mata ingin mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap pemimpin negara dalam usaha mendapatkan sokongan politik daripada rakyat.
0 comments:
Post a Comment