Wednesday 14 June 2017

UMNO Pulau Pinang Gesa DAP Negeri Dedah Sumber Dana Parti


GEORGE TOWN, 14 Jun - UMNO Pulau Pinang menggesa kepimpinan DAP negeri itu mendedahkan sumber kewangan mereka bagi mengelakkan kekeliruan tentang punca pendapatan parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata dana politik adalah sesuatu yang sangat sensitif, justeru pemimpin DAP perlu telus dalam menghebahkan sumber pendapatan yang digunakan untuk membiayai aktiviti politik mereka.

"Timbalan perdana menteri ada menyebut, tapi beliau tidak menuduh, kemungkinan ada sindiket perjudian haram di Pulau Pinang yang membiayai kegiatan politik di negeri ini.

"Saya anggap kenyataan ini adalah sesuatu yang elok dijawab oleh pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang supaya rakyat lebih faham tentang kenyataan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang dilaporkan berkata jika kegiatan judi tidak dihapuskan sepenuhnya, beliau khuatir ada sindiket yang akan menggunakan hasil kegiatan mereka untuk membiayai parti-parti politik, terutama semasa pilihan raya umum.

Zainal Abidin mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat sering menganjurkan jamuan makan malam secara besar-besaran yang melibatkan ramai jemputan dengan jumlah peruntukan yang besar.

"Kerajaan DAP dah perintah hampir 10 tahun dan dalam masa itu keadaan agak meriah dari segi aktiviti politik yang dibuat oleh kerajaan negeri termasuk jamuan-jamuan makan malam yang boleh kata berlangsung hampir setiap malam di Pulau Pinang.

"Jamuan-jamuan ini ambil masa dan guna belanja yang besar dan rakyat ingin tahu dari mana punca belanja dan UMNO Pulau Pinang berharap tiada unsur (pendapatan) melibatkan wang haram yang membiayai parti politik itu di negeri ini," katanya. Bernama 

0 comments:

Post a Comment