Saturday 15 July 2017

3 Melayu Terajui Pembangkang , DAP Kekal Dominasi


IPOH: Tiga pemimpin utama yang diumumkan sebagai kepimpinan baharu blok pembangkang hanya untuk mengaburi mata pengundi dan meraih sokongan Melayu. 

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, parti pembangkang mendakwa mempunyai struktur kepimpinan hebat dan diterima rakyat tetapi sebenarnya rakyat lebih bijak menilai. 

"Rakyat tak bodoh dan buta ... siapa ketua sebenar pembangkang, Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail). 

"Ada tiga kepala, Tun Dr Mahathir, Anwar dan Dr Wan Azizah, di manakah DAP parti yang mendominasi pembangkang?," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Barat, di sini malam tadi. 

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar. 

Khairul Azwan berkata, meskipun gabungan parti pembangkang berkenaan meletakkan tiga pemimpin utama adalah Melayu, namun secara jelas blok pembangkang itu tetap dikuasai dan di dominasi oleh DAP. 

"Di manakah DAP dan kepimpinan DAP, perwakilan pembangkang yang paling banyak adalah DAP mereka ada 36 Ahli Parlimen, yang kedua adalah PKR, 30 Ahli Parlimen dan yang lain adalah menyumbang sedikit. 

"Bagaimanapun, dalam hal ini yang mendominasi adalah DAP, dalam konteks kepartian, parti yang menguasai dengan jumlah kerusi itulah parti sebenar yang memimpin gabungan pembangkang," katanya. 

Beliau berkata, apa yang ditonjolkan dalam kepimpinan baharu pembangkang itu adalah semata-mata hiasan luaran kerana keadaan sebenar dan dalamannya tidak seperti yang digambarkan.  

Katanya, malah perkara asas dalam menamakan siapa calon Perdana Menteri jika mereka memerintah juga gagal dimuktamadkan sehingga kini. 

Sementara itu, Khairul Azwan ketika merasmikan mesyuarat perwakilan kedua-dua sayap berkenan turut mengumumkan penubuhan sebuah yayasan khusus dalam mengukuhkan pembinaan hubungan antara kaum di kawasan Ipoh membabitkan Parlimen Ipoh Timur, Ipoh Barat dan Tambun. 

Katanya, buat permulaan beliau menyumbangkan sebanyak RM20,000 sebagai dana awal penubuhan yayasan berkenaan yang akan diterajui kepimpinan Pemuda dan Puteri dari tiga bahagian berkenaan. - BeritaHarian

0 comments:

Post a Comment