Tuesday 4 July 2017

Ada kekeliruan isu longgar syarat lulus BM - Dr Hilmi


4 JULAI: Susulan isu kelonggaran syarat lulus bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pengambilan pegawai perubatan UD-41, wujud kekeliruan sehingga ia menjadi kontroversi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata keputusan itu inisiatif kementerian kesihatan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, berbanding syarat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini yang tidak mewajibkan syarat lulus bahasa Melayu bagi lantikan tetap pegawai perubatan sejak 2003.

“Sebenarnya ia bukan melonggarkan (syarat lulus bahasa Melayu) tapi meningkatkan lagi syarat itu kepada perlu lulus bahasa Melayu untuk menjadi pegawai perubatan kerana sejak 2003, JPA benarkan mereka (pegawai perubatan) dilantik walaupun tidak lulus (bahasa Melayu) kerana waktu itu negara kekurangan doktor dan terpaksa import (doktor) daripada luar.

“Doktor luar ketika itu memang tidak mengambil bahasa Melayu peringkat SPM dan boleh diserap bekerja dengan kementerian kesihatan tapi sekarang kami tambah baik serta telah berbincang dengan JPA untuk tingkatkan syarat perlu lulus BM lagipun jumlah graduan perubatan tempatan semakin ramai, sebab itu kita boleh tetapkan syarat itu,” katanya kepada media selepas pelepasan Larian Obor Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rusa, peringkat Parlimen Balik Pulau hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang JPA memberi persetujuan untuk melonggarkan syarat pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD-41 di kementerian kesihatan pada 23 Februari lepas.

Noor Hisham dilapor berkata kelonggaran syarat kelayakan lulus bahasa Melayu itu bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD-41 untuk graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan subjek berkenaan di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

Hilmi berkata pihaknya juga akan berbincang dengan kementerian pendidikan bagi membolehkan pengamal perubatan yang tidak mempunyai kelulusan bahasa Melayu menduduki peperiksaan hanya subjek BM peringkat SPM berbanding 6 subjek.

“Graduan perubatan yang sedang menjalani latihan di hospital tidak perlu lulus bahasa Melayu tetapi jika mahu menjadi pegawai perubatan UD-41, mereka perlu lulus subjek itu dalam SPM dan kami akan berbincang hal ini dengan kementerian pendidikan supaya hanya ambil subjek itu sahaja dan bukan sekurang-kurangnya 6 subjek seperti biasa.

“Jadi mereka ada masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk lulus dalam subjek bahasa Melayu peringkat SPM kerana menjalani latihan sebagai doktor pelatih selama tempoh itu jika memilih untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan tetapi jika ingin bekerja di hospital swasta atau membuka klinik sendiri, mereka tidak perlu berbuat demikian (lulus bahasa Melayu),” katanya.

Beliau berkata jumlah graduan perubatan yang menjalani latihan dengan hospital kerajaan dan tidak mengambil subjek bahasa Melayu dalam SPM ketika ini adalah sedikit iaitu tidak sampai 1%.

Katanya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) bahasa Melayu dan pihak yang keliru berhubung isu berkenaan bagi memberi penjelasan sebenar berhubung perkara itu hujung minggu ini.

0 comments:

Post a Comment