Monday 10 July 2017

DAP Di Sifatkan Parti Berlagak


GEORGE TOWN - DAP disifatkan sebagai sebuah parti yang berlagak dan degil kerana tidak mahu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) walaupun diarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Anggota Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata parti itu sepatutnya menghormati undang-undang negara sekiranya mahu menjadi sebuah parti hebat dan dihormati rakyat.

Beliau berkata tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan \'keras kepala\' untuk tidak mengadakan pemilihan semula CEC itu boleh memberi pengaruh negatif kepada parti lain.

"Undang-undang yang ditetapkan RoS itu dipersetujui dalam Parlimen yang turut dihadiri mereka, jadi kenapa tidak mahu ikut? Apa masalah mereka?

"Kalau mahu jadi hero dalam pakatan harapan, mereka perlu tunjuk contoh yang baik dan jangan amalkan konsep cakap lain buat lain," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) sebanyak RM100,000 kepada Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini hari ini.

Jumaat lepas, Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah dilaporkan berkata jabatan itu akan mengeluarkan arahan meminta DAP mengadakan pemilihan semula CEC kerana RoS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu hasil pemilihan semula pada 29 Sept 2013 tidak sah dari segi undang-undang.

Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata DAP perlu mencontohi UMNO yang pernah menerima arahan sama pada 1987 apabila parti itu diisytihar tidak sah sehingga dibubarkan dan perlu membentuk parti baharu.

"Kalau UMNO sebuah parti besar di negara ini boleh laksanakan arahan RoS pada ketika itu, mengapa DAP tidak mahu ikut? Ini baru sedikit RoS minta buat pemilihan semula sudah tidak terima, bagaimana hendak tadbir negara?" katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment