Monday 10 July 2017

DAP Tak Perlu Takut Pemilihan Semula


KAMPUNG GAJAH: Pemimpin DAP tidak wajar berasa takut mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu jika mereka percaya berada di landasan benar. 

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Anwar Harun berkata, sebaliknya pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, mengambil pendirian berdolak-dalik apabila diarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya mengadakan pemilihan semula CEC. 

"Kenapa pemimpin DAP takut? Sebab itu saya merasakan mereka ini mempunyai agenda sempit dan peribadi, termasuk menindas ahli parti mereka sendiri. 

"Sekiranya mereka benar-benar ambil kira pandangan ahli mereka, mereka tidak perlu takut untuk panggil semula perwakilan terdahulu untuk memilih CEC yang baharu," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Senator Azwan Bro di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Perak Tengah di sini, hari ini. 

Jumaat lalu, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah meminta DAP mengadakan pemilihan semula CEC selepas mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu menerusi pemilihan semula pada 29 September 2013, tidak sah. 

Menurut Mohammad Razin, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, yang membabitkan seramai 2,576 perwakilan dari 865 cawangan. 

Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan parti berkenaan. 

Khairul Azwan berkata, gurauan Guan Eng kononnya terpaksa memanggil mendiang Karpal Singh sekiranya terpaksa menggunakan senarai lama CEC menunjukkan polemik atau politik murahan yang dimainkan pemimpin parti itu berhubung isu berkenaan. 

"Saya anggap mereka ini sebenarnya tiada pendirian dan mereka sebenarnya sudah hilang punca, kerana itu mereka mencari pelbagai alasan untuk mengelak daripada melaksanakan arahan yang dikeluarkan oleh ROS. 

"Sebelum ini telah berlaku pemilihan, seingat saya pemilihan pertama (tidak sah), kemudian pemilihan buat kali kedua tetapi masih tidak sah kerana aduan demi aduan datang daripada ahli DAP sendiri. "Saya fikir pelbagai pertubuhan telah melalui proses penilaian ROS dan UMNO (pernah dibubarkan pada tahun 1987) tidak terkecuali dengan proses terbabit," katanya. - BeritaHarian

0 comments:

Post a Comment