Isu campur tangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam proses pewartaan di negeri itu terus menjadi isu yang hangat diperbincangan.Tindakan kerajaan negeri yang mahukan sesuatu fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri perlu dirujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong jelas melanggar peruntukan dan bidang kuasa yang sebenarnya menjadi hak mutlak Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.
Pada 10 Februari lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pekeliling itu bercanggah dengan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 pecahan (3) dan (4).
Beliau berkata enakmen berkenaan tidak menyebut fatwa yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu dibawa untuk makluman atau perkenan MMK Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang , YB Datuk Seri Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, Jawatankuasa Fatwa sepatutnya menjadi sebuah badan bebas yang tidak memerlukan campur tangan daripada mana-mana pihak.
“Jawatankuasa Fatwa perlu merupakan suatu platform yang bebas. Ini bersesuaian dengan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan. Tapi apa yang dibuat (campur tangan kerajaan negeri) sedikit sebanyak seakan-akan fatwa yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa boleh dikekang oleh Exco,” katanya.
Reezal mengulas kenyataan PAS Pulau Pinang sewaktu hadir ke Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri anjuran PAS Negeri Pulau Pinang di Pongsu Seribu yang akan mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah campur tangan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam proses pewartaan fatwa di negeri itu.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof berkata PAS negeri konsisten meminta kerajaan negeri menarik balik pekeliling yang menyatakan bahawa keputusan mewartakan sesuatu fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri perlu dirujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Merujuk kepada ucapan perbahasan Ketua Pembangkang , YB Datuk Jahara Hamid (Adun Teluk Air Tawar) sewaktu Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang penggal ke-13 yang lalu , Enakmen pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 telah menetapkan perlantikan dan kuasa Mufti, Jawatankuasa Fatwa Negeri serta kaedah untuk membuat atau meluluskan fatwa.
Tidak ada satu pun peruntukan di dalam enakmen tersebut membolehkan fatwa yang telah diluluskan untuk dibawa ke Pentadbiran Kerajaan Negeri untuk disemak supaya selari dengan kehendak Kerajaan Negeri sebelum dibawa ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong.
Ini adalah asas atas dasar Mufti mempunyai kebebasan penuh untuk membawa fatwa yang diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang untuk membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam warta. Setelah diperkenankan maka fatwa tersebut hendaklah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri dan diwartakan.
Fatwa adalah khusus hal ehwal agama dan Ketua Agama untuk Pulau Pinang adalah Yang di-Pertuan Agong bukan Ketua Menteri.
Berdasarkan kenyataan tersebut maka jelas Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh sama sekali mencampuri apa-apa urusan khususnya melibatkan hal berkaitan fatwa.
0 comments:
Post a Comment