Thursday 6 July 2017

Kelonggaran Syarat Bahasa Melayu , Kabinet Arah Tarik Balik


PUTRAJAYA - Mesyuarat Kabinet ha­­ri ini memutuskan ke­longgaran syarat kelayakan lulus subjek Bahasa Me­layu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41 ditarik balik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet juga memutuskan untuk mengekalkan syarat lulus Bahasa Melayu bagi pengambilan semua jawatan dalam sektor awam dan tiada sebarang kelonggaran berkaitan diizinkan.

“Jemaah menteri turut me­minta dan mencadangkan su­­­paya Akta Perubatan 1971 dipinda untuk mewajibkan per­khidmatan Pe­gawai Perubatan selama dua tahun selepas tamat housemanship dan mema­sukkan syarat kelulusan Bahasa Melayu.

“Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara untuk pembentangan (pindaan akta) dilakukan di Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Polemik timbul berikutan keputusan Kementerian Ke­sihatan mempertahankan ke­long­garan syarat kelayakan lu­lus Bahasa Melayu pada pe­ringkat SPM bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41 sehingga menimbulkan bantahan daripada pelbagai pihak.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat Kabinet hari ini dipengerusikannya dan beliau juga telah memaklumkan keputusan mesyuarat berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, doktor-doktor lantikan kontrak terbabit diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu SPM pada November atau Jun manakala Lembaga Peperiksaan memaklumkan bahawa tenaga profesional boleh mengambil subjek itu tanpa perlu menduduki subjek lain yang diwajibkan dalam peperiksaan tersebut.

“Hanya 23 orang doktor terlibat di dalam housemanship ini, 11 orang terdiri daripada anak-anak diplomat Malaysia yang mendapat pendidikan perubatan di luar negara dan (mereka) adalah keturunan Melayu rakyat Malaysia, 12 orang lagi merupakan keturunan bukan Melayu rakyat Malaysia, jadi saya tidak mahu digambarkan jumlahnya seolah-olah 300 ataupun 3,000 orang,” katanya.

Beliau berkata, kelonggaran syarat yang berlaku sebelum ini adalah berikutan negara kekurangan doktor dan terpaksa mengambil doktor pelbagai negara termasuk India, Indonesia dan Myanmar.

“Saya ingin menyebutkan penghargaan saya kepada organisasi, ilmuwan dan pejuang bahasa di negara ini, saya menghargai pandangan mereka, saya fikir keputusan dibuat jemaah menteri hari ini merupakan satu pencerahan dan satu keputusan muktamad,” katanya.

Tegasnya, Kabinet komited mempertahankan Perlembagaan Persekutuan terutama menyentuh soal Bahasa Kebangsaan sebagaimana terkan­dung dalam Perkara 152 perlembagaan dan selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dalam sidang akhbar berasingan berkata, keputusan Kabinet berhubung syarat lulus Bahasa Melayu itu akan memastikan keseragaman dalam pelantikan jawatan berkenaan.

Beliau berkata, pada 2003, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran bagi subjek Bahasa Melayu untuk lantikan jawatan tetap ke­rana ketika itu wujud keperluan untuk doktor yang banyak.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan pada 2015 bagaima­napun memutuskan untuk mengenakan balik syarat keperluan kelulusan Bahasa Melayu untuk pegawai perubatan jawatan tetap dan perkara tersebut mendapat kelulusan JPA.

Katanya, disebabkan berlaku kebanjiran doktor, kementerian terpaksa mengurangkan jawatan tetap dan mewujudkan jawatan kontrak yang mana perkara berkenaan telah dilulus dan diamalkan sejak Disember 2016. - utusan 

0 comments:

Post a Comment