Thursday 13 July 2017

Kerajaan Negeri DAP P.Pinang Sengaja Bayar Lebih - Jahara


13 JULAI : Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid mendakwa, kerajaan negeri yang diteraju DAP itu mungkin sengaja membuat pembayaran lebih empat kali ganda terhadap yuran rundingan bagi tiga batang jalan projek terowong bernilai RM117.5 juta atas agenda yang tidak diketahui.

“Tidak mahulah cakap sudah kenapa mereka bayar lebih. Awak pun sudah tahu mereka saja nak bayar lebih.

“Itu cerita lama. Semua orang sudah beri komen mengenai isu tersebut. Macam-macam isu. Sudah tak larat dah nak cakap bab itu,” katanya.

Dalam pada itu, MCA Pulau Pinang menuntut penjelasan kerajaan negeri berhubung isu terlebih bayaran yuran itu seperti yang diberitahu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Setiausaha MCA negeri Dr Tan Chuan Hong berkata sebelum ini kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng itu sering kali mengeluarkan kenyataan yang bercanggah berkaitan kos projek berkenaan.

“Kita pun mahu tahu kenapa dia bayar terlebih? Lagipun projek ini belum berjalan dan laporan sampai sekarang tak keluar. Apa sebenarnya yang telah berlaku, saya pun minta Lim Guan Eng beritahu orang ramai.

“Saya pun mahu tahu kerana saya ingat dia sudah beri tanah itu kepada pemaju. Dia ‘exchange’ dia bagi tanah. Jadi, panggil dia jelaskan adakah dia beri tanah kepada pemaju ataupun dia bagi wang tunai.

“Kita nak tanya dia. Panggil dia jelaskan kerana penjelasan dia tidak sama setiap kali. Nanti dia jelaskan begitu, esok dia jelaskan lain. Kita nak dia betul-betul cakap macam-mana,” katanya dipetik Antarapos.

Selain, Chuan Hong turut mempersoalkan lebihan yuran projek tersebut yang seterusnya disalurkan ke ‘poket’ siapa.

Terdahulu, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menegur Kerajaan DAP Pulau Pinang yang membayar yuran rundingan secara berlebihan bagi pembinaan tiga projek jalan utama dan terowong dengan nilai RM177.5 juta di negeri itu selain menjalankan projek di luar garis panduan pihaknya.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof turut menasihati Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow supaya tidak mengelirukan rakyat dengan menjelaskan lebih berhati-hati mengenai bayaran dibuat di dalam industri pembinaan jalan yang moden dan mempunyai peraturan yang baik.

Katanya, kementerian berpegang kepada pendapat profesional Lembaga Jurutera yang telah membuat pengiraan bahawa bayaran maksimum yang dibenarkan berdasarkan skala harga ialah RM41 juta bagi tiga projek utama jalan raya di Pulau Pinang.

0 comments:

Post a Comment