Friday 21 July 2017

Kerajaan Persekutuan Tidak Pernah Pinggirkan Pulau Pinang


Merujuk kepada tindakan seorang YB daripada Pakatan Harapan di Pulau Pinang yang dilihat dengan sengaja memuat naik gambar lawatan beliau ke tapak projek Lebuhraya Bayan Lepas ke Teluk Kumbar di akaun facebook miliknya sehingga mendapat kecaman daripada netizen sebenarnya telah mendedahkan sikap wakil-wakil kerajaan negeri Pulau Pinang itu sendiri.

Tindakan yang dilihat sebagai sekadar mencari populariti tanpa menyatakan projek tersebut dibawah Kerajaan Persekutuan dilihat banyak pihak sebagai cubaan untuk mempolitikkan isu kononnya semua usaha tersebut adalah hasil daripada kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan sedangkan usaha daripada kerajaan persekutuan itu dibuat untuk keselesaan rakyat khususnya di Pulau Pinang.

Jika lawatan sekalipun , pihak terlibat perlulah bersikap adil dan perlulah memberikan penjelasan yang benar dan tepat.

Akibat daripada kecaman netizen yang melahirkan rasa kurang senang mereka dengan tindakan YB Pakatan tersebut akhirnya posting tersebut telah dipadamkan awal pagi tadi.

Ianya jelas sama sekali berbeza dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional.

Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sudah tentulah banyak perkara yang perlu diberikan perhatian secara khusus agar untung nasib negara dan rakyatnya dapat dibela.Malah dalam keadaan tertentu keputusan-keputusan yang dilihat beberapa pihak sebagai tidak mesra rakyat terpaksa dilakukan demi untuk memastikan keutuhan kedudukan ekonomi , politik dan sosial negara berada dalam keadaan yang mampu bertahan apatah lagi dalam keadaan cabaran global yang sentiasa berubah-ubah.

Walaupun begitu Malaysia terus berjaya mendepani cabaran-cabaran ini apabila kerajaan pimpinan Barisan Nasional tampil dengan perubahan yang dilihat sejajar dengan perubahan di peringkat global.

Keupayaan Kerajaan Persekutuan tidak hadir dalam keadaan bercakap kosong dan janji-janji bulan bintang tetapi ianya dizahirkan melalui kerjasama berpasukan seluruh pimpinan dan parti-parti yang membentuk kerajaan melalui Barisan Nasional yang diterajui oleh parti UMNO.

Barisan pentadbiran yang diterajui oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri bukanlah barisan pentadbir caca marba kerana mereka tahu untuk melihat Malaysia terus berjaya maka seluruh rakyat tanpa mengira Bangsa dan Agama wajib diuruskan dengan sebaik mungkin dengan berpaksikan kepada keupayaan dan kemampuan yang dimiliki negara.

Oleh kerana itulah walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang ditadbir oleh pakatan pembangkang , usaha dan dasar Kerajaan Persekutuan adalah menyeluruh dan tidak terhad kepada negeri-negeri tertentu sahaja.

Sebagai contoh di Pulau Pinang , projek menaik taraf jalan Persekutuan FT006 dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas yang bernilai RM390 juta itu adalah di antara 7 projek di bawah Kementerian Kerja Raya.

Selain daripada itu, terdapat 6 lagi projek di bawah perancangan Kerajaan Persekutuan untuk rakyat di negeri Pulau Pinang.

1. Membina jalan dari 2 lorong ke 4 lorong dari Jambatan Tuanku Abdul Rahman (Sek.757) hingga Jambatan Merdeka (Sek.782) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Kos Projek RM340.4 juta;

2. Naik Taraf Bayan Lepas Expressway daripada Batu Maung ke Jambatan Pulau Pinang. Kos Projek RM373.2 juta;

3. Menaik taraf laluan persekutuan FT001 dari persimpangan Permatang Keling (Sek.720) ke jambatan di atas Sungai Junjung, Simpang Ampat (Sek.740), Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Kos Projek: RM344 juta;

4. Membina jejambat menghubung Jalan Nangka – Jalan Perda Timur merentasi Jalan Padang Lalang/ Jalan Permatang Rawa, Bukit Mertajam. Kos Projek RM184.8 juta;

5. Membina ‘Flyover’ merentasi Persimpangan Bulatan Batu Maung dan Persimpangan P222/P10. Kos Projek RM165.944 juta;

6. Menaik taraf Jalan Negeri (P10) daripada Batu Maung ke Persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah, Pulau Pinang. Kos projek RM160 juta.

Dan kos keseluruhan 7 projek rakyat itu bernilai hampir RM1.96 bilion telah diluluskan dalam Rolling Plan Pertama (2016-2017), RMKe-11 di bawah Kerajaan BN Persekutuan yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Razak.

Berdasarkan kepada semua perancangan tersebut maka tidak wujud sama sekali istilah meminggirkan mana-mana negeri walaupun ianya berada di bawah pembangkang.

Adalah lebih baik pembangkang khususnya di Pulau Pinang menyelesaikan masalah berbangkit yang kini sudah sampai ke tahap meresahkan warga Pulau Mutiara.

0 comments:

Post a Comment