Monday, 17 July 2017

Lebih 70,000 Tetamu Hadir Memeriahkan Rumah Terbuka UMNO 2017


KUALA LUMPUR – Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 yang diadakan di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam disambut meriah dengan kehadiran ribuan ahli-ahli UMNO dari seluruh negara dan juga rakyat berbilang kaum.

Orang ramai mula berpusu-pusu masuk ke dalam dewan kira-kira pukul 11 pagi apabila pintu dewan dibuka dan tidak melepaskan peluang bertemu dan bersalaman dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang hadir.

Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 11.50 pagi menyebabkan hadirin merasa teruja serta tidak melepaskan peluang untuk melihat beliau dari dekat dan ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar bersama Perdana Menteri.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba Di Dewan Tun Razak 1 pada jam 11 pagi.

Dianggarkan lebih 70,000 tetamu yang hadir memeriahkan majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 kali ini, termasuklah ahli-ahli dan kepimpinan UMNO dari seluruh negeri dan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum.

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan daripada setiap negeri dan dapat menikmati makanan-makanan tradisi yang popular di setiap negeri seperti nasi dagang dari Terengganu, Apam Johol dari Negeri Sembilan, Mi Bandung Johor dan lain-lain lagi.

Turut hadir menyantuni rakyat pada Rumah Terbuka UMNO 2017 ini ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa serta Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak. Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin serta Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyati Samsudin, mengetuai rombongan sayap UMNO.

0 comments:

Post a Comment