Friday 21 July 2017

Malaysia Mahu Bebas Asap Rokok Pada 2045 - Dr Hilmi


GEORGE TOWN - Malaysia dijangka dapat mencapai sasaran “Negara Bebas Asap Rokok” menjelang 2045 berikutan kerjasama dan strategi pelaksanaan inisiatif bebas asap rokok yang diperkukuhkan bersama negara Asean.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata antara kerjasama dan strategi itu adalah menggiatkan usaha memperkasa dan promosi kesihatan secara menyeluruh bagi membantu perokok menghentikan tabiat tidak sihat itu.

“Rokok atau tembakau adalah ancaman terbesar dan faktor risiko utama penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menyumbang lebih setengah juta kematian di rantau ASEAN setiap tahun.

“Sebab itu, Malaysia dan negara ASEAN lain bekerjasama dan berkongsi pendapat memastikan negara masing-masing bebas asap rokok. Saya juga percaya Malaysia mampu capai sasaran itu pada 2045,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Serantau Bandar Raya Bebas Asap Rokok Ke-5 dan Sidang Kemuncak Pemimpin Bebas Asap Rokok hari ini.

Lebih 100 peserta dari negara ASEAN, China, Pakistan dan Mongolia menyertai bengkel 3 hari bermula semalam.

Turut hadir Pengerusi South East Tobacco Alliance (SEATCA) Dr Siriwat Tiptaradol dan Pengerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) Tan Sri Dr Mohd Nasir Mohd Ashraf.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata Kementerian Kesihatan juga menyasarkan untuk mengurangkan jumlah perokok 15% menjelang 2025 dan 5% pada 2045 sejajar dengan sasaran menjadikan negara bebas asap rokok.

Beliau berkata kerajaan melakukan pelbagai inisiatif seperti menaikkan cukai eksais rokok, meletakkan amaran kesihatan bergambar pada kotak rokok dan larangan merokok di hampir semua tempat awam untuk memerangi tabiat buruk itu.

“Selain itu, kami turut memberikan perkhidmatan percuma kepada orang ramai yang ingin berhenti merokok. Sehingga kini, terdapat 944 klinik berhenti merokok yang mengambil bahagian iaitu terdiri daripada klinik kesihatan (731), farmasi dan komuniti (146), hospital (33) dan lain-lain (14) lagi.

“Seramai 2,973 orang atau 27.6% daripada 10,791 perokok yang datang mendapatkan bimbingan dan khidmat nasihat berjaya berhenti merokok,” katanya.

Beliau berkata Melaka, Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang juga mengambil bahagian dan komited dalam melaksanakan inisiatif bebas asap rokok serta beberapa negara lain akan mengambil inisiatif sama.

Menurutnya dianggarkan 7 dari 10 orang dewasa atau 8.6 juta orang terdedah kepada asap rokok di tempat awam manakala 4 dari 10 orang dewasa iaitu 7.6 juta orang terdedah kepada asap rokok di rumah di negara ini. - Bernama 

1 comments:

  1. dog houses need not be elegant, it only needs to be a design that makes it easier for us to clean.. Online Headshop

    ReplyDelete