Friday, 14 July 2017

Pakatan Yang Ada Pada Pembangkang Hanya Pakatan Pening Lalat


PULAU PINANG – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Noordin menyifatkan pakatan pembangkang sebagai satu pakatan pening lalat memandangkan kenyataan yang bercanggah antara kepimpinan pembangkang berhubung sama ada pakatan rakyat masih wujud atau pun sudah dibubarkan.

Menurut beliau, baru-baru ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuat kenyataan bahawa pakatan rakyat sudah tidak lagi wujud dan digantikan dengan pakatan harapan, namun kenyataan tersebut disanggah pula oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang menegaskan pakatan rakyat masih wujud dan masih menerajui negeri Selangor.

“Sebab itu saya anggap pakatan pembangkang ini sebagai pakatan pening lalat. Mereka ini bukan saja pening sesama sendiri tetapi turut memeningkan rakyat. Yang di sini kata pakatan rakyat sudah tidak wujud, tetapi di sana pula kata pakatan rakyat masih wujud.

“Walaupun mereka sama-sama parti pembangkang, namun mereka tidak sepakat. Parti pembangkang yang memerintah negeri, masing-masing buat cara sendiri. Seolah-olah pakatan pembangkang ini tidak ada pimpinan pusat yang boleh buat keputusan untuk diikuti semua parti yang bernaung di bawah satu pakatan,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Ekoran tiadanya persefahaman dan persepakatan di antara parti-parti pembangkang itu sendiri, maka hari ini kata Jasmin, rakyat boleh melihat kecelaruan mereka apabila gagal menyelesaikan begitu banyak isu-isu yang berbangkit di kalangan parti pembangkang.

“Disebabkan tidak ada kesepakatan inilah, kita boleh lihat senario parti pembangkang hari ini begitu bercempera. Kenyataan antara mereka tidak pernah selari. Masing-masing keras kepala dengan cara masing-masing. Sikap yang ada pada kepimpinan parti-parti pembangkang ini bukanlah sesuatu yang positif jika mereka diberikan kuasa untuk memerintah.

“Bagi saya, tidak ada gunanya mereka menubuhkan apa juga pakatan kerana tidak pernah wujud persefahaman yang kukuh dan jitu di antara mereka. Sudah dua kali mereka buat pakatan, tetapi kedua-duanya hancur berkecai. Mereka hanya satu fahaman dalam usaha untuk memburuk, memfitnah dan membuat tohmahan terhadap UMNO dan kerajaan saja,” tegasnya.

Justeru itu, beliau menyeru rakyat agar tidak memberikan kuasa kepada sebuah pakatan parti politik yang tidak pernah stabil dan sering membuat kenyataan serta tindakan yang mengundang kekeliruan rakyat.

“Kita tidak boleh berikan kuasa kepada sebuah pakatan parti politik yang telah terbukti tidak stabil, sering bertelagah sesama sendiri dan gagal untuk menyelesaikan masalah-masalah yang mereka hadapi. Apa yang berlaku di dalam pakatan pembangkang hari ini adalah satu isyarat bahawa mereka ini belum lagi layak untuk mentadbir negara.

“Saya fikir, sudah sampai masanya rakyat kembali memberikan kepercayaan kepada BN yang sudah terbukti mampu untuk membina sebuah negara bangsa yang lebih cemerlang demi keselesaan hidup rakyat di negara ini.

“BN sudah terbukti mempunyai track record yang baik, walaupun tidak sempurna. Jika BN sebuah parti yang gagal mentadbir negara, sudah tentu kita tidak akan mengecapi segala nikmat dan kemewahan yang ada di negara hari ini,”ujarnya.

1 comments:

  1. Setuju ++++ saudara Jas ..PH/PR bkn lg pening lalat mlh dh nk pitam...bagaimana nk ke Putrajaya
    klu tidur sebntal mimpi lain2
    Kapal pun dh nk tenggelam krn nakhoda ramai sgt...wahai org2 Melayu yg bermimpi bersama pktan pmbgkg...bangunlah sebelum mimpi yg ngeri2...
    #UMNO..BN tetap mantap bersama DSN utk menerajui kerajaan
    MariahMY..respect PM

    ReplyDelete