Monday 31 July 2017

Penduduk Di Beri Tempoh 3 Bulan Kosongkan Kg Mutiara


Sebanyak 70 keluarga yang merupakan penduduk Kampung Mutiara, Batu Feringghi Pulau Pinang diberi tempoh tiga bulan bagi mengosongkan rumah mereka dan kawasan berkenaan.

Keputusan itu setelah perbincangan antara pemilik tanah, Peter Loke Leng Seak, UMNO Bahagian Bukit Bendera dan kerajaan negeri di Balai Polis Batu Feringghi, pagi tadi.

Pada 17 Februari tahun lalu, penduduk kampung itu diarahkan keluar dari dua lot tanah berkenaan yang didiami lebih 50 tahun selepas pemiliknya dari Selangor berjaya membeli tanah tersebut 2007.

Melalui perbincangan itu, Ketua UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, berkata pemilik tanah menetapkan syarat berkenaan selain meminta RM100,000 sebagai jaminan.

“Kita berikan RM50,000 sebagai ganti rugi kepada Leng Seak dan dia meminta lagi tambahan RM50,000 sebagai jaminan penduduk keluar tetapi akan mengembalikannya sekiranya kawasan tersebut dikosongkan dalam tiga bulan,” katanya.

Menurut Ahmad, lebih 360 penghuni kampung itu akan ditempatkan di sebuah apartmen di Sri Tanjung Pinang 1 secara sementara.

“Mereka berkemungkinan akan berpindah semula ke sini selepas pembangunan berjaya dibina bersebelahan lot dalam dua tahun lagi,” katanya.

Terdahulu, lebih 400  penduduk perkampungan tersebut berhimpun secara aman hari ini bagi membantah usaha meroboh kediaman mereka selepas mahkamah mengeluarkan perintah berkenaan 17 Februari tahun lalu.

Penduduk turut meletakkan beberapa batang pokok dan kereta di laluan utama masuk kampung tersebut sebagai usaha menghalang pihak tertentu merobohkan rumah mereka.

0 comments:

Post a Comment