Tuesday 25 July 2017

Tilam, Katil Pun Di Cukai, Ada Hati Nak Hapuskan GST


PULAU PINANG – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Noordin menyifatkan kenyataan pemimpin pembangkang yang mahu menghapuskan GST dalam tempoh seratus hari berkuasa hanyalah satu kenyataan yang dilihat cuba untuk memperbodoh-bodohkan dan menghina intelektual rakyat di negara ini.

Menurut beliau, kenyataan seperti itu memperlihatkan seolah-olah rakyat di negara ini dungu dan bodoh serta tidak peka dengan perkembangan semasa dalam negara dan dunia.

“Saya tak pastilah kalau ada orang yang boleh percaya dengan kenyataan pembangkang itu. Tetapi kalau kita lihat di negeri-negeri pembangkang seperti di Pulau Pinang contohnya, katil dan tilam pun mereka kenakan cukai. Dan yang terbaru, kerajaan Pulau Pinang menaikkan pula bayaran parkir kenderaan di Pulau Pinang.

“Kalau perkara sekecil katil dan tilam pun mereka cukaikan, apakah logik jika berkuasa mereka akan menghapuskan GST yang memberikan lebih 40 bilion pendapatan kepada negara? Apakah mereka sanggup kehilangan berpuluh bilion pendapatan negara dengan menghapuskan GST semata-mata untuk memenangi hati rakyat dan menang pilihanraya?”

Selain itu, beliau turut mempersoalkan apakah pembangkang mempunyai sebarang pelan yang lebih baik untuk menggantikan pendapatan sebanyak RM40 bilion yang dikutip melalui GST sekiranya mereka mahu menghapuskan sistem percukaian tersebut.

“ Jika pembangkang mahu menghapuskan GST, maka apa pula pelan dan strategi mereka untuk menggantikan RM40 bilion apabila GST dihapuskan? Setakat ini kita tidak nampak apa-apa pelan ekonomi mereka yang boleh menggantikan cukai GST untuk menambah atau sekurang-kurangnya menyamai hasil pendapat melalui sistem percukaian tersebut.

“Di kala lebih 160 buah negara di dunia telah melaksanakan GST, tiba-tiba pembangkang yang kita lihat langsung tidak ada pelan ekonomi yang meyakinkan, dan hanya tahu menjual tanah dan aset-aset negeri untuk mendapatkan hasil, mahu menghapuskan 40 bilion pendapatan negara?

“Janganlah menganggap rakyat di negara ini bodoh dan senang diumpan dengan kenyataan yang tidak masuk akal seperti itu. Kalau mereka mengatakan mahu menstruktur semula GST, mungkin masuk akal tetapi bila mereka kata mahu hapuskan GST, itu nampak sangat satu kenyataan yang menghina pemikiran dan intelektual rakyat di negara ini,”katanya lagi.

Justeru itu, beliau meminta rakyat agar tidak terpengaruh dengan janji-janji pembangkang yang tidak masuk akal yang hanya dijadikan umpan untuk melunakkan hati rakyat untuk memberikan undi kepada mereka.

“Pembangkang memang suka menjanjikan bulan dan bintang, tetapi apabila diberikan kuasa mereka gagal untuk menunaikan janji-janji mereka itu. Kita boleh lihat bagaimana di Pulau Pinang, kerajaan Dap lebih bernafsu untuk membina rumah-rumah mewah untuk dijual kepada warga asing daripada membantu membina rumah untuk rakyat berpendapatan sederhana di negeri tersebut.

“Mereka berkata bahawa perjuangan pembangkang adalah untuk rakyat namun apabila diberikan kuasa, ia berlaku sebaliknya.Mereka tidak mampu untuk berkhidmat dengan lebih baik sebaliknya asyik menyalahkan kerajaan BN di atas sebarang permasalahan yang berlaku,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment