Thursday 13 July 2017

Vietnam Hasrat Contohi UMNO, Kagum Kemajuan Malaysia dan Kepimpinan Negara


PUTRAJAYA - Kerajaan Vietnam mengakui kagum dengan kejayaan UMNO dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang berjaya menerajui pembangunan negara dengan membawa pelbagai kemajuan kepada masyarakatnya.

Hal tersebut disuarakan oleh Timbalan Perdana Menterinya, Truong Hoa Binh, dalam kunjungan hormatnya kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, semalam.

“Nama UMNO cukup dikenali kerana berjaya menjadi teras dalam pentadbiran negara dan dapat memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang bangsa walaupun berlainan etnik dan suku kaum tetapi dapat bersatu untuk sama-sama menikmati kemajuan,” katanya.

Selaras dengan itu, beliau melahirkan keyakinan untuk mengaplikasi kesatuan dalam kepelbagaian negara ini bagi membentuk perpaduan masyarakat Vietnam yang terdiri dari 50 etnik.

“Kami berbangga mempunyai hubungan yang baik dengan UMNO dan kami berharap agar hubungan tersebut dapat dipereratkan lagi dalam pelbagai hal termasuklah bidang pendidikan, kebudayaan dan sosialisasi masyarakat.

“Kita bukan hanya mahu berkongsi idea tetapi juga mempelajari struktur perkembangan yang telah berjaya membawa masyarakat Malaysia mencapai kemajuan dan pembangunan yang pesat” katanya lagi.

Beliau yang mengetuai delegasi seramai 12 orang dalam rangka lawatan rasmi ke Ibu Kota.

Terdahulu, delegasi terbabit telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dalam ucapan balasnya, Tengku Adnan berterima kasih atas penghargaan dari kerajaan Vietnam dan menyatakan bahawa UMNO sentiasa bersifat terbuka untuk menjalin kerjasama.

Dalam perkembangan yang lain, Tengku Adnan turut meraikan delegasi dari Tunisia yang diketuai oleh Sheikh Rachid al-Ghannouchi yang juga pengasas Parti Ennahda.

0 comments:

Post a Comment