Wednesday 5 July 2017

Virus Rabies Di Serian Dipercayai Dari Kalimantan - Dr Hilmi


BALIK PULAU, 4 Julai - Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan penularan virus rabies atau anjing gila yang menjangkiti tiga kanak-kanak di Serian, Sarawak dipercayai berpunca daripada dari Kalimantan, Indonesia.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata sebelum ini terdapat sembilan kes serupa dilapor berlaku di negara itu dan pihaknya tidak menolak kemungkinan kedudukan Serian yang terletak bersebelahan dengan Kalimantan menjadi punca wabak berkenaan merebak ke daerah tersebut.

"Kemungkinan virus itu dari Kalimantan kerana di sana ada sembilan kes dan ia merebak ke Serian sebelum tiga kanak-kanak itu dijangkiti. Macam dahulu di Perlis sebelum ia merebak ke Kedah dan Pulau Pinang, penularannya juga dari negara jiran. Tetapi orang ramai tidak perlu bimbang kerana keadaan adalah terkawal."

"Setakat ini tiada kes positif virus rabies baharu dilaporkan di Sarawak atau mana-mana negeri lain. Jabatan Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Veterinar di setiap negeri sentiasa membuat pemantauan," katanya kepada pemberita pada acara pelepasan Larian Obor Sukan SEA Ke-29 Peringkat Kawasan Parlimen Balik Pulau di Sekolah Kebangsaan Sungai Rusa di sini hari ini.

Sabtu lalu Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kanak-kanak termasuk dua beradik, berumur empat, enam dan tujuh tahun di daerah Serian telah dijangkiti rabies. Dua daripada mangsa mempunyai sejarah gigitan anjing lebih kurang sebulan atau dua bulan sebelum mula menunjukkan tanda dan gejala, manakala seorang lagi tidak dapat dipastikan sama ada terdapat sejarah gigitan anjing atau tidak.

Dr Hilmi berkata kementerian juga telah mengambil beberapa langkah kawalan dan pencegahan termasuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai punca sebenar jangkitan rabies di Serian.

Ditanya perkembangan terkini keadaan tiga kanak-kanak yang dijangkiti rabies itu, beliau berkata sehingga semalam keadaan mereka masih kritikal dan sedang mendapat rawatan serta pemantauan rapi doktor pakar di Hospital Umum Sarawak.

Penyakit rabies adalah sejenis penyakit zoonosis yang disebabkan Lyssavirus dan boleh menjangkiti manusia melalui luka gigitan anjing yang dijangkiti rabies serta kulit manusia yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh daripada haiwan itu.

Manusia yang dijangkiti rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia (takut pada air), lumpuh dan koma. - Bernama

0 comments:

Post a Comment