Peningkatan lebih 8,000 pengundi baharu di kerusi Parlimen Permatang Pauh sejak 2015 merupakan berita baik kepada Umno untuk merampas kembali kerusi yang sinonim dengan Anwar Ibrahim, yang merupakan ahli parlimen paling lama dan kini dipenjara kerana kes liwat, kata pemimpin Umno.
Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said berkata Pilihan Raya Umum ke-14 akan mengubah kerusi parlimen itu daripada “kawasan hitam” kepada putih.
Zaidi berkata berdasarkan maklumat pengundi baharu menunjukkan lebih 80,000 pengundi di parlimen itu berbanding 72,000 pada pilihan raya kecil 2015 di mana PKR mengekalkan kerusi itu selepas sabitan kes liwat kedua Anwar. Isteri Anwar yang juga Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan 8,841 undi.
Zaidi berkata peningkatan lebih 8,000 pengundi baharu itu juga adalah berita baik buat Barisan Nasional.
“Antara 7,000 pengundi baharu ini adalah Melayu, yang mana kebanyakannya didaftarkan Umno melalui pendaftaran pemilih yang dijalankan. Pengundi baharu Cina hanya dalam 700 orang.
“Kebanyakan pengundi baharu ini adalah golongan belia dan pengundi kali pertama, yang memainkan peranan penting untuk menentukan pihak mana yang akan menang kerusi ini,” katanya.
“Kajian daripada ahli parti dan biro pendaftaran pengundi mendapati kemungkinan BN menguasai 67% pengundi.
Zaidi yang memegang jawatan itu sejak empat tahun lepas berkata, maklum balas yang diterima daripada masyarakat tempatan dan juga media sosial adalah positif.
“Terdapat komen di media sosial yang mengatakan Umno bertambah kukuh dan mempunyai lebih peluang berbanding parti Melayu lain,” katanya.
“Ini adalah masa terbaik untuk merampas kembali kerusi ini, Sebelum ini tiada yang pernah menyatakan kita mampu rampas kembali kerusi ini tapi kini mereka yakin kita mampu.
Kedatangan Najib
Umno Permatang Pauh juga yakin kehadiran Perdana Menteri Najib Razak untuk satu program pada 17 Ogos depan merupakan satu tanda positif.
“Sebelum ini ramai yang mengatakan beliau tidak akan datang kerana tiada peluang untuk Umno menang di Permatang Pauh. Kedatangan Najib ke Permatang Pauh adalah tanda kita ada peluang luar biasa untuk menang,” katanya.
Umno turut berharap masalah dalaman PH dan kehilangan rakan sekutunya PAS akan memudahkan lagi BN dan Umno pada pilihan raya akan datang.
“Kita tahu PKR berada dalam kecelaruan selepas berpisah dengan PAS dan semua orang di Permatang Pauh tahu PKR bergantung kepada kekuatan PAS. Kini mereka tidak lagi bersama, dan ia satu kelebihan kepada kita,” katanya.
PAS secara rasminya memutuskan kerjasama dengan PKR pada Mei lalu, kira-kira dua tahun selepas ia memutuskan hubungan dengan DAP berhubung isu hudud. Peranan Islam dan Melayu PAS dilihat diambil alih Amanah dan parti pecahan Umno , Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bulan lalu, kedua-dua PAS dan PKR melancarkan jentera pilihan raya mereka untuk kerusi Permatang Pauh.
Dengan perpecahan ini , kemungkinan akan berlaku pertandingan tiga penjuru. Penganalisis politik berkata sejarah menunjukkan pertandingan tiga penjuru memberi kelebihan kepada BN.
Zaidi berkata ahli Parlimen PKR Permatang Pauh tidak banyak melakukan sesuatu di parlimen itu dan ceramah PH hanya menyentuh mengenai kos sara hidup dan rakyat menderita hanyalah meraih simpati secara psikologi tanpa bukti kukuh.
“Apa yang mereka lakukan untuk mengurangkan beban rakyat. Mungkin mereka perlu buktikan daripada hanya mengulangi retorik mereka,” katanya. – MI
0 comments:
Post a Comment