Rang Undang-Undang (RUU) Perkahwinan Dan Perceraian pindaan 2017 atau Akta 164 yang diluluskan oleh Dewan Negara hari ini tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Pelembagaan Persekutuan.
Menteri Jabatan Di Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan pindaan ini hanya berkaitan perkahwinan orang bukan Islam yang merangkumi upacara dan pendaftaran perkahwinan di negara ini.
“Justeru tidak timbul isu bahawa pindaan ini bercanggah dengan Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwa beberapa pihak.
“Ini kerana apabila salah seorang daripada pasangan tersebut memeluk agama Islam, mereka masih boleh merujuk kepada mahkamah sivil bagi pembubaran perkahwinan.
“Bagaimanapun, selagi pasangan bukan Islam tidak memfailkan petisyen perceraian di mahkamah sivil, perkahwinan sivil mereka itu masih dianggap sah di bawah Akta 164,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Selain itu menurut Azalina, perkahwinan yang didaftarkan secara sivil adalah sah selagi tiada perintah dibuat oleh Mahkamah Sivil dan kedudukan ini adalah selaras dengan keputusan-keputusan Mahkamah Tertinggi di Malaysia.
“Manakala mengenai cadangan pindaan untuk memasukkan seksyen 51 ke dalam Rang Undang-Undang adalah untuk menyelesaikan pertikaian yang timbul sebelum ini.
“Pindaan ini juga tidak menafikan hak kedua-dua pihak untuk memfailkan petisyen sekaligus memberi keadilan kepada pasangan untuk perceraian secara baik serta kebajikan anak-anak terurus bagi menjamin masa depan mereka,” jelas Ahli Parlimen Pengerang itu.
Sehubungan itu, Azalina juga berharap semua pihak memahami terlebih dahulu pindaan ini sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dengan kedaulatan agama Islam sebagai agama Persekutuan, dalam masa yang sama memelihara prinsip kemajmukan bangsa dan agama di dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment