PASIR MAS – Anggota UMNO diminta tidak terikut-ikut dengan rentak bermacam isu yang dilontarkan oleh pihak tidak bertanggung jawab.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata isu-isu yang dilontarkan itu mungkin untuk melemahkan parti, melaga-lagakan pemimpin dan menimbulkan keraguan anggota parti terhadap pemimpin.
“Nasihat saya pada anggota UMNO jangan terikut-ikut dan menari mengikut rentak bermacam isu yang dilontarkan sekarang ini kerana ia mungkin sebahagian daripada ’psywar’ pihak tidak bertanggungjawab semata-mata untuk melagakan pemimpin kita dan melemahkan pemimpin kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di sini hari ini.
Hishammuddin berkata paling penting sekarang ini seluruh anggota UMNO memperkuatkan parti dan teruskan dengan agenda memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya umum ke-14.
Ditanya mengenai cadangan PAS supaya kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat tragedi Mamali, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas, berkata cadangan itu mestilah ikhlas, bukannya atas tujuan politik dan boleh menghuru-harakan negara.
“Apa jua cadangan yang dilontarkan sekarang ini maklumlah dalam keadaan sekarang untuk hadapi pilihan raya umum, jangan sampai kita sorak tapi kampung kita tergadai, jangan kita cadang sesuatu tetapi tidak boleh dibendung, pecahkan masyarakat berbilang kaum dan agama, itu semua tidak berbaloi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment