KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said hairan kenapa kerajaan negeri itu yang dikatakan Kompeten, Akauntabel dan Telus memerlukan masa lebih 9 tahun untuk melihat secara dekat kilang haram yang menimbulkan isu baru-baru ini.
Menurut beliau dasar apakah yang digunapakai sehingga memakan masa sekian lama dan penjelasan yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam soal tersebut bukanlah merungkai permasalahan sebaliknya menambahkan pelbagai persoalan di kalangan rakyat khususnya kalangan rakyat Pulau Pinang.
“Timbul persoalan apakah mereka akan mengambil tindakan jika ianya memberikan keuntungan politik kepada mereka dan akan bersikap sebaliknya seandainya menyebabkan kerugian politik kepada kerajaan negeri pimpinan Dap.
“Kita bukanlah mahu menangguk di air keruh namun apa yang dirungkaikan dan ditimbulkan berhubung soal tersebut benar-benar mengecewakan kerana ianya cukup jelas bertentangan dengan prinsip yang diwar-warkan itu,” katanya.
Sebelum ini beberapa pihak termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman menyelar tindakan Lim Guan Eng yang terlalu banyak berpolitik dalam mengurus tadbir dan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri.
Katanya, Guan Eng jangan hipokrit dan berterusan membohongi rakyat kerana sudah lebih sembilan tahun Dap menjadi kerajaan negeri di Pulau Pinang.
Zainal berkata, ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa kerajaan negeri tidak boleh mengambil tindakan terhadap kilang haram termasuk rumah ibadat serta gerai yang wujud sebelum 2008 yang dibina di atas tanah persendirian kecuali ianya mengganggu orang awam dan aliran trafik sehingga satu penyelesaian dapat dicapai.
Zaidi seterusnya menegaskan kontroversi kilang haram memproses habuk kayu di Sungai Lembu memperlihatkan kegagalan kerajaan negeri dalam menangani perkara yang melibatkan soal kepentingan masyarakat.
“Pada saya perkara tersebut memerlukan tumpuan dan perhatian serius daripada kerajaan negeri dan bukannya sekadar berpolemik sepanjang masa kerana ianya benar-benar menyentuh soal kebajikan serta kesihatan rakyat.
“Lagipun rakyat serta penduduk setempat dikatakan telah membuat aduan malahan ianya turut diperkatakan oleh ADUN PKR-Penanti, Dr Norlela Arifin,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment