Saturday 19 August 2017

Keluar Dari Zon Selesa, Teguran Untuk Semua Parti Komponen BN Di Pulau Pinang


Gesaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Barisan Nasional (BN) negeri bangkit menangkis tohmahan pembangkang terhadap sumbangan kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini, merupakan satu teguran buat semua parti komponen berkenaan.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata pihaknya akan mengkaji semula pendekatannya dalam mengutarakan isu-isu bagi memenangi semula hati rakyat untuk menyokong BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Ia adalah satu teguran buat semua komponen dalam persediaan menghadapi PRU14,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, di sini hari ini.

Ahmad Zahid membuat teguran itu semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tasek Gelugor dan majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan di Dewan Mid Town, Perda Seberang Perai Utara.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman ketika dihubungi berkata UMNO dan parti-parti komponen di negeri ini akan bekerja keras untuk memastikan BN dapat mengekalkan tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14 selain merampas semula kerusi-kerusi yang pernah dimenangi BN termasuk Permatang Pauh dan Nibong Tebal.

“Dalam politik, tiada yang mustahil. Kita kena kerja kuat. Kuatkan hubungan dengan parti komponen dan jangan putus asa. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minta kita supaya pastikan kerusi yang menang dikekalkan dan dapatkan balik kawasan-kawasan yang pernah kita menang dulu,” katanya.

Mengulas kenyataan Ahmad Zahid bahawa Parlimen Tasek Gelugor sebagai simpanan tetap kepada BN di Pulau Pinang, Zainal Abidin berkata UMNO Pulau Pinang menerima perkara itu sebagai satu amanat dan tanggungjawab dalam memastikan kerusi itu kekal milik BN pada PRU14.

Beliau berkata berdasarkan sejarah, BN tidak pernah kalah di kawasan itu dan usaha yang berlipat ganda diperlukan kerana Pakatan Harapan meletakkan Tasek Gelugor sebagai sasaran untuk dimenangi pada PRU14.

“Suasana politik hari ini berubah. Banyak perkara dan isu yang perlu diterangkan kepada rakyat. UMNO Pulau Pinang dan UMNO Bahagian Tasek Gelugor menerima saranan itu sebagai amanat. Kita perlu perhebat gerak kerja di Tasek Gelugor dan memastikan jentera bersiap sedia setiap masa.
Simpanan tetap ini tak boleh hilang, kita kena terus berkhidmat memenangi hati rakyat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment