Tuesday 22 August 2017

Kenyataan LGE Salahkan BN Taktik Lapuk Pembangkang

JELUTONG – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Noordin membidas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa isu kilang haram yang didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin itu adalah tinggalan pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan menyifatkan kenyataan tersebut bertujuan mengalih perhatian rakyat dengan meletakkan kesalahan kepada BN untuk menutup kesilapan mereka.

Menurut Jasmin yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jelutong, kenyataan Guan Eng itu tidak lain hanyalah satu taktik lapuk dan basi yang selalu diguna pakai oleh pihak pembangkang untuk menutup kegagalan mereka, dengan meletakkan kesalahan ke atas bahu pihak lain.

“Saya difahamkan kilang tersebut telah beroperasi selama 10 tahun, di mana dalam tempoh itu Dap sudah pun menjadi kerajaan yang mentadbir negeri. Jadi, jika benar kilang itu beroperasi semasa pemerintahan BN, mengapa di awal-awal Dap mengambil alih kerajaan negeri mereka tidak bertindak menutup kilang tersebut?

“Mengapa pula kerajaan Dap sendiri selepas itu yang mengeluarkan surat untuk menahan sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap kilang tersebut dan terus membiarkan kilang itu beroperasi selama 10 tahun sepanjang pemerintahan mereka?

“Saya minta agar Guan Eng jangan buat kenyataan putar belit, mahu kelirukan rakyat. Saya yakin kenyataan Guan Eng itu adalah taktik biasa pembangkang untuk mengalihkan perhatian rakyat menyalahkan BN, sedangkan ada kemungkinan besar berlakunya salah laku rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri yang membolehkan kilang haram itu untuk terus beroperasi,” tegasnya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng melalui sebuah portal berita pro pembangkang membuat kenyataan meminta maaf dalam isu kilang haram dan mengaitkan operasi kilang haram tersebut ketika di zaman pemerintahan BN.

“Pemimpin pembangkang seperti Guan Eng ini memang suka menipu. Mereka menipu, buat fitnah untuk teruskan survival politik mereka. Rakyat yang tidak tahu apa-apa akan senang terpengaruh dengan penipuan dan fitnah yang mereka buat. Tipu, adu domba dan fitnah ini saya rasa sudah jadi dasar kepada pendekatan politik pembangkang.”

Tambah beliau lagi, jika benar kerajaan negeri mahu bertindak terhadap kilang haram tersebut, mengapa mereka buat-buat tidak dengar terhadap aduan yang dibuat oleh Dr Norlela terhadap kilang tersebut.

“Kita boleh lihat, setiap kali ada isu-isu yang gagal mereka lunaskan di negeri-negeri di bawah pentadbiran pihak pembangkang, mereka akan salahkan BN. Inilah cara paling mudah untuk mereka lepaskan diri dan meletakkan kesalahan mereka kepada orang lain.

“Saya yakin, kalau sekali dua mereka menipu, mungkin rakyat boleh percaya tapi kalau setiap kali mereka lakukan kesilapan, dan setiap kali itu juga mereka meletakkan kesilapan mereka itu kepada pihak lain, lama-kelamaan rakyat boleh perasan. Guan Eng jangan fikir rakyat di negeri ini bodoh dan tidak boleh berfikir,” ujarnya.

Beliau seterusnya menyeru rakyat, khususnya kaum Cina di Pulau Pinang agar tidak terus tertipu dengan cerita-cerita dongeng yang didendangkan oleh pemimpin pembangkang, terutamanya kepimpinan Dap.

“Saya harap, rakyat di negeri ini sedar dan tidak terus tertipu dengan perangai lidah bercabang kepimpinan Dap. Mereka ini jenis tidak mahu mengaku kesalahan sendiri. Sudahlah tidak mengaku kesalahan yang dibuat, mereka fitnah dan tipu rakyat dengan meletakkan kesalahan mereka itu di bahu pihak lain.

“Sebab itu saya tegaskan, jika kita sebagai rakyat terus percaya bulat-bulat dengan apa yang mereka katakan itu, maka bergembiralah mereka kerana amat mudah mereka untuk menipu kita. Jadi saya rasa sudah sampai masanya untuk rakyat di negeri ini menolak kerajaan yang suka menipu rakyatnya dan berlakon seolah-olah suci dan telus.

“Kerajaan Dap ini bagi saya seumpama pepatah Melayu, ayam jantan yang kokoknya berderai-derai, tapi ekor penuh bergelumang dengan tahi,” ujarnya lagi.

0 comments:

Post a Comment