GEORGE TOWN – Kerajaan komited dan akan terus memberikan tumpuan dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata konsep pembangunan yang menyeluruh dan holistik amat diperlukan bagi memastikan golongan itu mempunyai keupayaan dalam pemilikan ekuiti.
“Sebab itulah baru-baru ini saya ubah kriteria asal kepada konsep transformasi kesejahteraan. Bila kita tegaskan aspek kesejahteraan ia melibatkan antaranya soal pemilikan hartanah kerana pemilikan hartanah, pada saya lebih bermakna berbanding pemilikan saham kepada individu sebab tanah merupakan aset yang cukup tinggi nilainya kepada keluarga.
“Oleh itu, kita melihat soal pembangunan perumahan ini bukan semata-mata dari sudut projek ekonomi sahaja tetapi ia terangkum dalam konsep membangunkan rakyat, membangunkan golongan Bumiputera berasaskan kepada konsep kesejahteraan. Kesejahteraan bererti pemilikan hartanah,’ katanya berucap ketika melawat projek perumahan Casa Anggun, Sungai Nibong di sini hari ini.
Projek fasa kedua itu melibatkan pembinaan 340 unit rumah kos sederhana seluas 800 hingga 900 kaki persegi yang dijual pada harga permulaan RM324,000 iaitu 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran dan habis dijual dalam tempoh dua hari.
Projek fasa kedua itu melibatkan pembinaan 340 unit rumah kos sederhana seluas 800 hingga 900 kaki persegi yang dijual pada harga permulaan RM324,000 iaitu 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran dan habis dijual dalam tempoh dua hari.
Turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Pengerusi Barisan Nasional negeri Teng Chang Yeow, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Najib berkata agenda perumahan antara yang diberi keutamaan tinggi pada masa ini kerana rumah mampu milik adalah perkara yang paling dikehendaki dan diingini rakyat.
“Sejak saya mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, kita telah membuat penilaian apakah yang dikehendaki oleh rakyat dan antara yang dikehendaki mereka adalah rumah mampu milik. Rumah mampu milik ini amat dekat di hati rakyat. Justeru, kita telah memberi komitmen untuk melaksanakan satu juta rumah mampu milik di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata usaha melaksanakan kehendak rakyat itu meliputi pelbagai peringkat termasuk mengenal pasti tanah sama ada milik kerajaan atau swasta dan kerjasama agensi kerajaan sebagai contoh di Pulau Pinang, JKP Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).
Dalam pada itu, Najib berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan JKP Sdn Bhd untuk membina 10,000 unit rumah mampu milik di dua bidang tanah milik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Gelugor dan Batu Maung di sini.
“Jika Kabinet luluskan, projek ini bakal menjadi kenyataan nanti. Inilah usaha-usaha yang kita dapat lakukan. Kita nak semua golongan dapat manfaat,” katanya.
Terdahulu, Zainal Abidin ketika berucap berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan khas ke atas permohonan itu untuk membina 10,000 unit rumah mampu milik di tanah berkenaan demi memberi kesejahteraan kepada rakyat Pulau Pinang.
0 comments:
Post a Comment