Wednesday 2 August 2017

Kerajaan Pulau Pinang Di Desak Tubuh Tabung Khas Bantu Penduduk Kg Mutiara


GEORGE TOWN - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini mendesak kerajaan DAP Pulau Pinang campur tangan dan menubuhkan sebuah tabung khas bagi menyelesaikan isu pengusiran penduduk Kampung Mutiara di Batu Ferringhi dekat sini.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid berkata kerajaan negeri boleh menggunakan dana Tabung Amanah Perumahan Bumiputera sebagai bantuan awal kepada penduduk terlibat antaranya untuk menampung kos perpindahan mereka.

"Anggota Dewan Undangan Negeri BN memandang serius isu ini dan akan membantu dengan berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk menyediakan kewangan bagi tujuan membina rumah gantian kekal untuk menempatkan penduduk Kampung Mutiara," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedia maklum bahawa kerajaan negeri bertindak tegas untuk tidak meluluskan permohonan Pelan Merancang oleh pemaju perumahan yang gagal menyelesaikan isu setinggan atas tanah-tanah terlibat.

"Tapi bagi kes Kampung Mutiara, pemilik tanah tidak kemuka permohonan Pelan Merancang, jadi kerajaan negeri tidak boleh buat apa-apa...namun kerajaan negeri masih perlu bertanggungjawab untuk bantu selesai masalah rakyat ini.

"Satu dasar lebih jelas perlu ada dan ambil kira 'precedent' (dahuluan)  bagi membela nasib rakyat seperti kes Kampung Mutiara ini bagi memastikan penduduk tidak diusir tanpa belas kasihan dan sebarang pampasan," kata Jahara.

Semalam penduduk Kampung Mutiara yang diarah mengosongkan rumah mereka, diberi tempoh selama tiga bulan lagi untuk berbuat demikian selepas arahan mahkamah itu berjaya ditangguhkan hasil perbincangan pelbagai pihak.

Keputusan itu berjaya dicapai hasil perbincangan antara pemilik tanah Peter Loke Leng Seak, 65, dan UMNO Bahagian Bukit Bendera yang mewakili 70 keluarga di situ serta kerajaan negeri Pulau Pinang selepas kira-kira 500 orang termasuk penduduk kampung berkumpul secara aman bagi membantah kampung mereka daripada dirobohkan. - Bernama

0 comments:

Post a Comment