Tuesday 22 August 2017

Kerajaan Sedia Tubuh RCI Memali


Kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali yang berlaku pada November 1985.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak jika terdapat  permintaan daripada mana-mana pihak termasuk daripada pembangkang bagi mendapatkan maklumat sebenar kejadian berkenaan.

“Walaupun permintaan dari parti berbeza, undang-undang tetap ditegakkan. Orang yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang, Taiping, baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Husin Syed Abu Fasal.

Tragedi yang berlaku di Kampung Memali, Kedah berlaku ketika Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi ketua negara dan dan Tun Musa Hitam sebagai Menteri Dalam Negeri.

Peristiwa pada tahun berkenaan mengakibatkan pertempuran antara penyokong PAS dengan anggota keselamatan dan 18 orang termasuk empat anggota polis terkorban.

Pada 14 Ogos lalu, Timbalan presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat tragedi berkenaan.

Sementara itu Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau sudah membaca buku ‘Frankly Speaking’ tulisan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa mengenai peristiwa Memali.

Berdasarkan buku itu, Musa mendakwa beliau diberi maklumat yang salah mengenai keadaan di tempat kejadian sebelum arahan supaya pasukan keselamatan bertindak dikeluarkan.

0 comments:

Post a Comment