Sukan Ekuestrian Polo yang menjadi salah satu acara di Sukan Sea 2017 kali ini tiba-tiba muncul menjadi antara sukan yang paling mendapat perhatian daripada para peminat sukan tanahair.Rata-rata penyokong Malaysia yang ditemui menyatakan bahawa mereka sebenarnya kurang memahami peraturan bagi pertandingan tersebut namun memilih untuk meneruskan sokongan terhadap pasukan Malaysia.
Selain daripada aksi yang dipamerkan , hebahan media serta tularnya semangat bangkit bersama atas nama Malaysia turut menjadi penyumbang kepada kehadiran para penyokong yang sebenarnya diluar jangkaan sepanjang acara tersebut dipertandingkan.
Malah dengan adanya acara ini ramai dari kalangan masyarakat Malaysia sudah mula meminati sukan terbabit dan semestinya dengan pasukan Malaysia sedang mendahului pasukan-pasukan lain , sambutan dari kalangan penonton akan bertambah.
Kita juga tidak dapat nafikan ramai dari kalangan netizen membicarakan tentang keterlibatan Khairy Jamaluddin dan Putera Mateen dalam acara Ekuestrian Polo ini sebagai antara penarik minat para penyokong kerana ketampanan yang dimiliki oleh kedua-duanya namun secara rasionalnya ramai pihak sedar bahawa sukan itu sendiri sebenarnya mempunyai pengaruh dan kekuatan tersendiri.
Untuk makluman acara Ekuestrian Polo ini merupakan kali ketiga dipertandingkan di peringkat Sukan SEA , kali pertama pada 1987 di Jakarta Indonesia kemudiannya pada 2007 di Thailand dan terkini pada 2017 di Malaysia.
Menarik tentang acara Polo di Sukan SEA 2017 adalah ianya telah melibatkan ramai peserta dari kalangan VIP antaranya kerabat di Raja Brunei iaitu Putera Mateen dan Puteri Azziemah.
Turut melibatkan diri adalah Puteri Thailand Sirivannavari dalam acara Ekuestrian Dressage selain Khairy Jamaluddin Menteri pertama di rantau Asia Tenggara yang menjadi atlet dalam Sukan SEA dalam acara Ekuestrian Polo mewakili Malaysia.
Penglibatan secara langsung para VIP ini dalam Ekuestrian secara amnya dan Ekuestrian Polo secara khususnya merupakan satu perkembangan yang baik bukan sahaja kepada sukan itu sendiri tetapi juga menzahirkan semangat keakraban serantau yang mampu diterjemahkan dalam setiap siri pertandingan dengan semangat kesukanan seterusnya merapatkan lagi hubungan antara negara-negara di Asia Tenggara.
Malaysia sudah semestinya beruntung kerana menjadi tuan rumah pada temasya kali ini dan ianya pasti menjadi pentas promosi sukan polo secara meluas kepada seluruh rakyat dan diyakini mampu untuk menarik minat serta mencungkil bakat-bakat baru warga Malaysia untuk menyertai sukan Polo selepas ini.
Lebih dari seribu orang hadir menyaksikan perlawanan antara Malaysia menentang Brunei baru-baru ini dan jumlah itu jauh lebih tinggi daripada perlawanan akhir polo terbuka Malaysia beberapa tahun yang lalu.
Sekalung tahniah kepada Malaysia selaku pihak penganjur dan syabas kepada YB Khairy Jamaluddin kerana berjaya membawa sukan polo ini dekat dengan rakyat seterusnya menarik minat ramai dari kalangan warga Malaysia khususnya untuk sama-sama bangkit bersama demi Malaysia.
0 comments:
Post a Comment