Tuesday 15 August 2017

Kilang Haram, Guan Eng Main Wayang


NIBONG TEBAL – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman menyelar tindakan Lim Guan Eng yang terlalu banyak berpolitik dalam mengurus tadbir dan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri.

Katanya, Guan Eng jangan hipokrit dan berterusan membohongi rakyat kerana sudah lebih sembilan tahun Dap menjadi kerajaan negeri di Pulau Pinang.

Zainal berkata, ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa kerajaan negeri tidak boleh mengambil tindakan terhadap kilang haram termasuk rumah ibadat serta gerai yang wujud sebelum 2008 yang dibina di atas tanah persendirian kecuali ianya mengganggu orang awam dan aliran trafik sehingga satu penyelesaian dapat dicapai.

Menurutnya, penyataan Guan Eng itu jelas bercanggah dengan jawapan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow kepada satu soalan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keduabelas (30/04/2012).

Dalam jawapan tersebut, Zainal menyatakan bahawa Chow berkata kerajaan negeri melalui MPPP dan MPSP telah mengambil tindakan ke atas kilang-kilang haram atas tanah persendirian, di bawah Seksyen 72, Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 dengan mengeluarkan notis kepada pemilik untuk meroboh bangunan haram tersebut; manakala untuk kilang-kilang atas tanah Kerajaan, tindakan akan diambil oleh Pejabat Daerah dan Tanah melalui notis di bawah Seksyen 425 dan 426A, Kanun Tanah Negara.

“Sehubungan itu, saya ingin bertanya kepada Ketua Menteri, bilakah dasar itu diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Exco Negeri Pulau Pinang?

“Bolehkah Ketua Menteri memberikan cabutan Minit Mesyuarat Exco yang meluluskan dasar tersebut?”, tanya Zainal.

Justeru itu, beliau menyarankan supaya Ketua Menteri lebih tegas dan berani untuk mengambil tindakan ke atas kilang-kilang haram di seluruh Pulau Pinang terutamanya yang membahaya serta mengancam keselamatan dan kesihatan awam.

“Merujuk kepada kes kilang haram memproses habuk kayu di Sungai Lembu, bukankah terdapat banyak aduan daripada rakyat dan penduduk berdekatan terhadap kilang haram tersebut yang mengancam kesihatan dan menganggu-gugat keselamatan mereka, malahan aduan juga telah dibawa oleh ADUN PKR-Penanti ke Sidang DUN Pulau Pinang?

“Saya amat hairan kenapa kerajaan negeri yang Kompeten, Akauntabel dan Telus perlukan masa lebih 9 tahun untuk cari penyelesaian sebuah kilang haram yang mengancam keselamatan dan kesihatan awam.

“Apakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih “sayangkan kilang haram” daripada keselamatan dan kesihatan awam?,” soal Zainal lagi.

Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil tindakan memberhentikan operasi kilang haram berkenaan dan ianya telah menimbulkan persoalan kepada Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal itu, mengapa tindakan serupa tidak diambil sebelum ini.

“Timbul persoalan, apakah sebelum ini ada sekatan atau campur tangan daripada pihak kerajaan negeri yang menghalang JAS mengambil tindakan untuk menutup operasi kilang haram memproses habuk kayu tersebut?

“Ketua Menteri dan kerajaan negeri sekarang ada kuasa untuk menutup kilang-kilang haram dan tidak perlu kaitkan Barisan Nasional dalam sebarang tindakan diambil oleh mereka.

“Tunjukkan bahawa kerajaan negeri sekarang Kompeten, Akauntabel dan Telus dan tidak takut untuk ambil tindakan ke atas kilang-kilang haram,” kata Zainal.

Tambah Zainal, sebelum ini kerajaan negeri melalui MPSP pernah mengambil tindakan meroboh dan memberhentikan operasi dua buah kilang haram, iaitu kilang pengeluar bumbung zink di Jalan Tanah Liat dan kilang memproses timah di Kubang Ulu dalam kawasan DUN Penanti.

“Saya juga ingin ingatkan Ketua Menteri, terdapat perbezaan antara kilang-kilang haram dan struktur-struktur haram. Kilang-kilang haram, tidak berlesen, tiada permit atau kelulusan bangunan boleh dihentikan operasinya tanpa diambil tindakan meroboh bangunan kilangnya sementara pihak berkuasa mencapai penyelesaian yang lebih baik.

“Jika tidak mampu bawa perubahan, amat elok sekiranya rakyat Pulau Pinang sekali mengUBAH kerajaan negeri untuk menyelamatkan Pulau Pinang,” tegas Zainal.

0 comments:

Post a Comment