Tuesday 22 August 2017

Mahkamah Persekutuan Benarkan JPN Tangguhkan Penggunaan ‘Bin Abdullah’


Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes anak luar nikah menggunakan nama bapa kandung dalam dokumen rasmi.

Anggota tiga panel Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif yang membenarkan penangguhan itu bermula hari ini sehingga mahkamah tertinggi itu mendengar permohonan rayuan JPN dan ketua pengarahnya dan jika kebenaran diberikan sehingga pelupusan kes di Mahkamah Persekutuan.

Di peringkat Mahkamah Persekutuan, rayuan kes sivil tidak dibenarkan secara automatik dan kebenaran perlu dipohon sebelum merit penuh didengar berhubung persoalan undang-undang yang ditimbulkan.

Ini berikutan peguam keluarga itu yang diketuai oleh K Shanmuga dan Nizam Bashir, menyatakan bahawa mereka tidak akan membantah penangguhan itu sehingga peringkat kebenaran.

Permohonan untuk penangguhan dibuat oleh peguam kanan persekutuan Ahmad Teriruddin Mohd Said bagi pihak Jabatan Peguam Negara.

Memetik laporan Malaysiakini, pendengaran untuk permohonan penangguhan JPN dijadualkan pada 8 Sept.

Pada masa yang sama, Hakim Md Raus membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk mencelah dalam kes itu.

Walau bagaimanapun, mahkamah tertinggi menolak permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk turut campur tangan.

Dua hakim lain yng bersidang sama ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Alizatul Khair Othman.

0 comments:

Post a Comment