Thursday 31 August 2017

Manifestasi Cinta Negara Terserlah Dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2017


KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Manifestasi rasa cinta kepada negara yang terpancar sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka hari ini turut mewarnai suasana sambutan di seluruh negara dengan pelbagai acara penuh semangat patriotik, yang dihadiri kepimpinan negeri dan rakyat.

Pelbagai program bagi menyemarak semangat kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957 dan transformasi negara selama enam dekad diadakan di setiap negeri bagi meraikannya, yang menarik perhatian bukan sahaja rakyat tempatan malah juga warga asing.

Orang ramai, khususnya ibu bapa mengambil kesempatan cuti umum ini membawa anak-anak mereka untuk melihat dan merasai sendiri acara yang bertema ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ itu, berada di lokasi sambutan sejak awal pagi.

Di KUALA LUMPUR, sambutan gilang-gemilang di Dataran Merdeka menghidupkan kembali penghayatan dan semangat merdeka di Stadium Merdeka pada 1957 dengan penyertaan hampir 18,000 peserta terdiri daripada anggota pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta swasta dan pelajar sekolah.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan kepimpinan kabinet serta tetamu jemputan menyaksikan sambutan yang bermula 8 pagi.

Di KUALA TERENGGANU, perarakan sejauh kira-kira 4.1 kilometer berlangsung di Dataran Batu Burok, di sini, dengan disaksikan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan kekanda Tengku Nadhirah Zahrah, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Menepati tema ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ keharmonian pelbagai kaum dan budaya di negara ini dapat dilihat dalam kalangan peserta Melayu, Cina dan India yang mengambil bahagian dalam perbarisan serta sokongan orang ramai yang terus mengibarkan Jalur Gemilang.

Sebanyak 142 kontinjen terdiri daripada 6,992 peserta daripada jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform serta badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan dan perbarisan bermula 9.20 pagi.

Di JOHOR BAHRU, sambutan melibatkan 129 kontinjen seramai 4,500 peserta yang memakai pelbagai jenis pakaian bertemakan Jalur Gemilang berarak sejauh dua kilometer bermula dari Padang Ekstrem Pasir Gudang dan berakhir di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Turut mencuri tumpuan, perarakan kereta antik termasuk jenis Morris Eight daripada Kelab Kereta dan Motosikal Antik Johor serta aset daripada Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Selain itu, kronologi sejarah kemerdekaan Malaysia turut ditayangkan kepada orang ramai melalui skrin layar di stadium tertutup itu.

Di KOTA BHARU pula, persembahan tangkas sekumpulan ‘21 pendekar’ menarik perhatian orang ramai pada sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang diadakan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini.

Kumpulan pendekar yang diketuai Panglima Singa Malaya Mohd Amru Rosli, 34, daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kelantan itu mempersembahkan tari pendekar, gerakan serangan anak harimau, permainan tangan kosong, permainan tongkat, tempur lembing, tempur keris, pemusnahan atap genting dan lompatan api.

Beliau berkata persembahan itu adalah mesej pembentukan disiplin, jati diri dan semangat patriotik anak muda yang tinggi khususnya yang menganggotai pertubuhan silat berkenaan.

Selain itu, hampir 2,000 peserta daripada 60 kontinjen, terdiri daripada pebagai jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan, memeriahkan sambutan yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Di ALOR SETAR, acara sambutan melibatkan 95 kontinjen bersama lebih 2,000 peserta di Dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar disaksikan Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff.

Di MELAKA, seramai 9,680 peserta daripada 193 kontinjen menyertai perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, di sini. Bertemakan ‘Era Kemerdekaan 1957’, sebahagian pengunjung yang hadir ke acara itu dilihat memakai pakaian ala era 50-an.

Di SEREMBAN, dianggarkan lebih 20,000 hadir menyaksikan sambutan yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Sebanyak 110 kontinjen melibatkan 13,000 peserta termasuk pasukan keselamatan negara, Pasukan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sembilan, Persatuan Bekas-bekas Polis Negeri Sembilan, jabatan dan agensi kerajaan serta parti politik.

Di IPOH, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menghadiri acara sambutan di Dataran Bandaran Ipoh.

Kira-kira 10,000 pengunjung berhimpun menyaksikan pelbagai persembahan menarik dipertontonkan oleh 107 kontinjen melibatkan 5,213 peserta, antaranya persembahan koir daripada 105 pelajar sekolah serta gerak tari negeri Perak daripada 130 pelajar sekolah diiringi lagu gubahan oleh Kumpulan Dendang Anak.

Di GEORGE TOWN, seramai 5,800 peserta mewakili 88 kontinjen daripada agensi kerajaan dan swasta menyertai sambutan Hari Kebangsaan peringkat Pulau Pinang yang diadakan di Padang Kota Lama.

Antara persembahan yang menarik perhatian orang ramai termasuk pelancong asing ialah Tempur Tanpa Senjata oleh pasukan tentera, deklamasi puisi bertajuk ‘Menyusuri Sungai Merdeka’, nyanyian lagu patriotik dan tarian kebudayaan.

Sementara itu di KUANTAN, biarpun cuaca panas terik, lebih 10,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir menyaksikan acara sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Jalan Mahkota, di sini, tetap tidak berganjak.

Kebanyakan mereka hadir seawal 7 pagi walaupun perarakan dan perbarisan yang disertai seramai 6,566 peserta daripada 89 kontinjen hanya bermula 8.30 pagi.

Acara terjunan khas 10 pegawai dan anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) Tentera Udara Diraja Malaysia yang mengibarkan Jalur Gemilang dan bacaan pengisytiharan kemerdekaan diikuti laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali sebagai mengimbas detik sejarah kemerdekaan negara paling mencuri tumpuan pengunjung.

0 comments:

Post a Comment