Friday 18 August 2017

Najib Ajak Rakyat Permatang Pauh Buat ‘U-Turn’


PERMATANG PAUH – Walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menjadi pilihan rakyat tempatan di sini namun khidmat bakti kepada masyarakat setempat tidak pernah terputus selama ini lantaran itulah tanggungjawab sebenar kerajaan Pusat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Walaupun BN tidak mendapat sokongan sepenuhnya rakyat di Permatang Pauh sejak peristiwa tahun 1999, namun kerajaan Pusat tidak pernah putus menghulurkan bantuan melalui UMNO di sini,” katanya.

Namun begitu, beliau melahirkan keyakinan berdasarkan perubahan dan transformasi yang dilaksanakan UMNO Permatang Jauh sejak akhir-akhir ini serta kerja berterusan maka Parlimen Permatang Pauh akan dapat dikembalikan kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

“”Takkan tak boleh buat perubahan di Permatang Pauh sebab reformasi dah tak ada. Reformasi ditubuhkan nak lawan orang yang dikatakan diktator, maha firaun, maha zalim, tetapi orang itu dah buat pusiangan membuat pusingan 360 darjah, dan kini bekerjasama dengan pembangkang pula,” katanya.

Katanya, parti pembangkang menggerakkan reformasi kira-kira 18 tahun lepas untuk melawan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi secara rasminya gerakan itu boleh dikatakan berkubur apabila orang yang dilawan dahulu membuat ‘u-turn’.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Permatang Pauh khususnya pengundi setempat untuk membuat ‘u-turn’ dengan memilih calon BN dalam PRU-14 nanti.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada cikgu Zaidi dan team UMNO Permatang Pauh yang terus menerus membantu rakyat, bantuan dan sokongan bukan sahaja kepada orang Melayu malah kepada semua kaum yang hakikatnya menjadi tonggak kekuatan BN selama ini.

“Dalam perjuangan dan politik ini, kita perlu ada keikhlasan, bukan hari ini kita cakap lain tapi esok kita cakap lain. Jangan hari ini kita buat pendirian, tapi 18 tahun kemudian kita buat ‘u-turn’, buat pusingan 360 darjah,” ujarnya.

Tambahnya, rakyat Permatang Pauh harus menilai dan berfikir secara rasional memandangkan kawasan ini seolah-olah sudah terhenti pembangunannya.

“Tidak ada perubahan yang dibawa oleh Ahli Parlimennya, malah untuk melihat muka dan diri Wan Azizah di sini pun sangat susah, jauh sekali membawa perubahan,pembangunan mahupun menyelesaikan masalah rakyat di Permatang Pauh ini.

“Kita bukan nak menyokong simbol semata-mata, tetapi kita nak wakil rakyat yang boleh berkhidmat kepada kita (rakyat) sebab kita mahukan rakyat di kawasan kita selesa, kita mahu hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok adalah lebih baik dari hari ini.

Tegasnya, memandangkan ‘orang itu’ sudah pun membuat ‘u-turn’, pusingan 360 darjah maka masyarakat di Permatang Pauh digesa untuk turut membuat ‘u-turn’ dengan memberikan sokongan dan undi tak berbelah bagi kepada calon BN pada PRU-14 nanti.

Najib berkata demikian dalam program Kenduri Bersama Rakyat yang diadakan bersempena lawatan kerja sehari di sini.

Lebih 20,000 orang dari segenap kawasan di Pulau Pinang, terutamanya penduduk Permatang Pauh daripada pelbagai lapisan kaum, menghadiri majlis Kenduri Bersama Rakyat di Politeknik Seberang Perai.

Istimewanya, majlis tersebut dijangka mencatat ‘Malaysia Book of Records’ sebagai acara paling ramai makan secara bersila dan makan secara berhidang mengikut adat tradisional masyarakat Melayu.

Kenduri Bersama Rakyat itu dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman, dan timbalannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said serta barisan kepimpinan UMNO Pulau Pinang.

0 comments:

Post a Comment