Tuesday, 29 August 2017

Najib Rasmi Projek River Of Life


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini merasmikan pelaksanaan fasa satu Projek River of Life (ROL) dan Kolam Biru di Masjid Jamek di sini yang  bakal mengubah kualiti air sungai utama di Lembah Klang, daripada tahap tidak selamat kepada tahap selamat untuk kegunaan rekreasi.

Perdana Menteri diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa anggota kabinet antaranya Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz,  dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, 

ROL yang dilancarkan pada 2011 adalah Projek Permulaan di bawah Greater Kuala Lumpur/Klang Valley dan bakal mengangkat martabat Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia.

Ia bertujuan menghidupkan semula Sungai Klang dan Gombak dalam bandar, mengubahnya sebagai kawasan ‘waterfront’ berkembang maju dengan nilai ekonomi dan komersial melalui pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pembangunan tanah.

Fasa satu pengindahan Sungai Presint 7 projek ROL membabitkan kawasan bersejarah seperti Dataran Merdeka, Masjid Jamek dan Pasar Seni yang melibatkan pertembungan dua anak sungai.

Sebagai daya tarikan baharu, satu jambatan pejalan kaki telah dibina untuk menghubungkan Masjid Jamek dan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka sekali gus memendekkan tempoh perjalanan sebanyak 50 peratus.

ROL telah selesai melalui kerja-kerja pembersihan sepanjang 110 kilometer yang meliputi lapan sungai iaitu Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Sungai Klang dan Sungai Keroyong.

ROL menggunakan kaedah pembersihan sungai dikenali ‘Interceptor system P7′ yang akan membantu meningkatkan kualiti air dengan cara menyekat dan merawat air longkang yang kotor.

Paip-paip Interceptor akan melencongkan air sisa dan kotoran dari rumah, premis komersial dan bangunan ke loji rawatan untuk dirawat sebelum menyalurkan Kelas IIB (selamat untuk kegunaan rekreasi dan tubuh)  ke sungai.

Loji ini berupaya menyediakan persekitaran kondusif secara semula jadi bagi pembiakan mikroorganisma aerobik yang berupaya menyahkan permintaan oksigen biokimia (BOD) ‘ammoniacal nitrogen’ dan pepejal terampai.

Kolam Biru, ikon baharu  Kuala Lumpur pula adalah hasil cetusan idea Perdana Menteri yang mahu mengoptimumkan potensj kawasan ROL sebagai penggerak ekonomi negara dan menarik lebih ramai pelancong ke kawasan berkenaan.

Pembinaan kolam biru menyediakan pemandangan sungai dengan limpahan cahaya berwarna-warni berserta pancutan air diiringi irama muzik.

0 comments:

Post a comment