Tuesday, 8 August 2017

Pembangkang Guna Pendekatan FAT Serang Kerajaan, Kelirukan Rakyat


KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, sudah menjadi kebiasaan kepada pembangkang di negara ini mengamalkan pendekatan politik ‘Fitnah, Adu domba dan Tipu’ (FAT), sebagai senjata dalam usaha mereka untuk memburuk-burukkan UMNO dan kerajaan bagi mewujudkan persepsi negatif di di kalangan rakyat.

Menurut beliau, pendekatan FAT yang diguna pakai oleh pihak pembangkang ini amat berbahaya memandangkan sikap suka menabur fitnah, suka mengadu domba dan juga menipu telah menimbulkan banyak kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Tiga pendekatan pembangkang itu amat jelas diguna pakai oleh mereka bukan sahaja terhadap UMNO dan kerajaan, malah terhadap mana-mana pemimpin di kalangan pembangkang sendiri yang mahu mereka jatuhkan.

“Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana pemimpin-pemimpin pembangkang yang tidak segan silu melempar dan menghebahkan fitnah-fitnah mereka. Fitnah tentang Tabung Haji, fitnah tanah TRX, fitnah tentang NFC dan banyak lagi fitnah-fitnah yang mereka lemparkan, yang mana akhirnya terbukti semua maklumat yang mereka hebahkan itu adalah pembohongan belaka.

“Malah ketika mereka menjatuhkan pemimpin di kalangan mereka sendiri seperti yang berlaku terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor…fitnah, adu domba dan penipuan jugalah senjata yang mereka gunakan untuk menjatuhkan beliau daripada kerusi Menteri Besar Selangor ketika itu.

“Apa yang lebih dahsyat ialah bukan sahaja FAT ini digunakan oleh mereka terhadap UMNO dan kerajaan sahaja, malah pendekatan politik seperti ini jugalah yang diguna pakai oleh pembangkang untuk menjatuhkan sesama mereka sendiri.” 

Justeru, beliau menyeru agar rakyat di negara ini supaya berhati-hati dalam mempercayai sebarang maklumat yang tersebar di media sosial, terutamanya yang datang dari pihak pembangkang.

“Kita tahu modus operandi pembangkang yang menyebarkan fakta-fakta tidak betul atau pun yang dimanipulasikan berhubung kepimpinan UMNO dan kerajaan. Mereka lakukan ini untuk membuat rakyat jadi keliru sehingga tidak tahu mana yang sahih dan mana yang tidak.

“Sebab itulah kerajaan kita lihat hari ini agak agresif menentang penyebaran maklumat yang tidak sahih melalui portal seperti sebenarnya.my, iklan dan sebagainya. Ini kerana penyebaran fakta-fakta palsu atau fitnah boleh menyebabkan berlakunya pelbagai kerosakan dalam masyarakat.

“Jadi kita sebagai rakyat, mesti bijak untuk menilai apa juga maklumat yang kita perolehi. Bila terima sebarang maklumat terutama dalam hal-ahl politik yang melibatkan kepimpinan UMNO,BN atau pun kerajaan, maka siasat terlebih dulu sejauh mana kebenarannya.

“Jangan terus kita sebarkan kerana jika maklumat yang kita terima itu adalah fitnah, maka secara tidak langsung kita juga telah menjadi agen fitnah dengan menyebarkan maklumat yang tidak betul itu kepada orang lain,”tegasnya.

0 comments:

Post a Comment