Sunday 20 August 2017

Pembangkang Terdesak Turun Padang Fitnah Kerajaan – Hamzah


GEORGE TOWN – Pakatan pembangkang dilihat semakin terdesak sehingga sanggup menjelajah ke seluruh negara terutama di kawasan kampung, semata-mata mahu menabur fitnah untuk menimbulkan perasaan benci rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata tindakan itu disifatkan sebagai janggal kerana ada dalam kalangan mereka, sewaktu bergelar ‘orang kuat’ UMNO dan kerajaan pusat, jarang turun padang, namun kini bertindak sebaliknya dengan alasan mahu mendekati rakyat bawahan.

“Saya perhatikan akhir-akhir ini, mereka yang hendak menentang UMNO dan kerajaan telah mula rajin pusing ke seluruh negara dengan membuat cerita yang bukan-bukan seperti fitnah kepada pemimpin parti serta kerajaan.

Tindakan pemimpin-pemimpin sebelah sana itu dilihat sangat terdesak… sanggup tabur fitnah malah cuba menegakkan benang yang basah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jelutong di Batu Feringghi dekat sini, hari ini.

Beliau berkata kesungguhan UMNO dalam menjalankan tugas terhadap semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik menyebabkan pemimpin pembangkang berasa tercabar.

Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata namun tindakan pembangkang itu tidak akan berjaya menggoyahkan anggota UMNO di peringkat akar umbi kerana mereka tahu mana yang betul dan sebaliknya.

“Sebenarnya mereka silap kerana anggota UMNO dan rakyat tahu apa yang betul dan cubaan untuk memecahbelahkan anggota (UMNO) memang tidak akan berjaya… parti keramat Melayu ini (UMNO) sentiasa kental dan bersatu bagi memastikan kelangsungan orang Melayu.

Lagipun rakyat juga sedar bahawa pemimpin-pemimpin seperti itu tidak boleh dipercayai kerana sebelum ini bersama UMNO dan kerana tidak mahu mengikut pemimpin mereka wujudkan parti baharu malah suka membuat pusingan U demi memenuhi impian sendiri dan bukan berjuang untuk rakyat seperti UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesa golongan muda supaya menggunakan kemahiran teknologi maklumat bagi mendedahkan pemerintahan kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak mengotakan jani-janji mereka.

“Penduduk negeri ini adalah yang paling hampir dengan kepimpinan kerajaan negeri, jadi boleh ceritakan semua penindasan dan kezaliman kepada rakyat negeri lain supaya mereka tidak dengar daripada sebelah pihak (pembangkang) sahaja.

“Sebagai contoh kes kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam, mereka (kerajaan negeri) sentiasa mencari alasan memusing fakta sehingga pada akhirnya kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) yang pernah memerintah negeri ini dipersalahkan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment