Monday 7 August 2017

Pemimpin Berintegriti , Bersih Penting Untuk Kelangsungan UMNO – Khairy


Pengundi Melayu bandar amat penting untuk kelangsungan politik UMNO dan untuk mendapatkan sokongan mereka, pemimpin parti keramat orang Melayu itu perlu memiliki lima ciri kepimpinan termasuk berintegriti dan bersih, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ciri berintegriti dan bersih adalah penting kerana dapat menentukan sama ada mereka berkemampuan menjalankan amanah dengan baik atau sebaliknya.

“Selain itu, mereka (pemimpin) harus kompeten, yang bermaksud mereka cekap dan dapat menyelesaikan masalah dengan cepat… tidak payah tunggu lama, turun bawah (padang) dan selesaikan tanpa bergantung harap pada orang lain.

“Mereka juga perlu  prihatin, penyayang dan berjiwa rakyat kerana melaluinya, mereka boleh mendalami masalah yang sedang dialami rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang. Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Khairy berkata ciri lain termasuk berwibawa dalam melaksanakan amanah serta janji kepada rakyat serta boleh bersikap kontemporari, mengikut citarasa masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata sesi penerangan di alam maya kini dilihat sebagai medium yang lebih sesuai dengan keadaan semasa.

​​​​​​​​​​​​​”Kita masih boleh meneruskan sesi penerangan dengan turun padang untuk memberi pemahaman, tetapi medan politik hari ini lebih kepada alam maya dan kita perlu menyesuaikan diri. Jika ramuan ini dipegang, saya percaya kita (UMNO) dapat menang besar pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pada hematnya generasi muda mahukan politik yang berbentuk khidmat bakti, terbuka dan progresif tanpa melaga-lagakan mana-mana pihak serta tidak membuat serangan peribadi atau memfitnah.

“Bermakna pentas politik digunakan untuk berkhidmat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment