KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) akan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, PAU 2017 akan bermula dengan program taklimat presiden dan diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada sebelah malamnya.
Najib yang juga Presiden UMNO memaklumkan perkara tersebut pada sidang media sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
“Pada 6 Disember persidangan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri, manakala malamnya pula mesyuarat khas Majlis Tertinggi, 7 hingga 9 Disember Perhimpunan Agung UMNO 2017,” katanya lagi.
Dalam perkembangan yang berkaitan Najib turut menzahirkan perasaan kesyukuran kerana sepanjang mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian, ianya berjalan dengan lancar dengan tiada kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi juga mengambil maklum bahawa persidangan-persidangan di peringkat UMNO Bahagian telah berjalan dengan baik, mendapat sambutan dan disiplin pun baik tiada kerusi yang melayang dan sebagainya.
“Dan kita lihat bahawa semangat ahli-ahli UMNO adalah tinggi dan kita berharap ini menunjukkan jentera parti berada dalam keadaan kesiapsagaan yang diharapkan, namun kerja-kerja untuk memurnikan segala-segala yang perlu dilakukan menjelang pilihan raya umum 14 ini perlu diadakan,” ujarnya.
Sebagai rujukan, mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian telah bermula sejak 7 Julai lalu dan dijadualkan berakhir hujung minggu ini, 26 Ogos 2017.
0 comments:
Post a Comment