Monday 7 August 2017

Persefahaman Saya Dengan TPM Dan PM Kukuh – Hishammuddin


Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata persefahaman antara dirinya dengan  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana  Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak amat kukuh dan usaha pembangkang untuk melagakan mereka tidak akan berjaya.

“Kami mempunyai persefahaman amat mendalam. Ada amanah untuk menjaga parti selaku tunjang dan tonggak kerajaan yang kami bertiga perlu pikul dengan serius dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak melaga-lagakan kami,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian pada sidang media lepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kangar.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kangar  Datuk Seri Azlan Man yang juga Menteri Besar Perlis.

Katanya beliau yakin selepas ini pemimpin-pemimpin UMNO yang lain pun akan  diserang pembangkang.

“Nasihat saya jangan layan tetapi tidak boleh diam diri, kena jawab juga,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata  beliau  sangat bersetuju dengan kehendak ramai supaya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disiasat sepertimana yang disarankan Dr Mahathir sendiri supaya pemimpin-pemimpin kerajaan disiasat.

Semalam Ahmad Zahid berkata beliau sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Dr Mahathir kononnya beliau memiliki RM230 juta dalam akaun pada 1996 dan pada masa yang sama  meminta SPRM menyiasat harta bekas  perdana menteri itu dan keluarganya.

Baru-baru ini Dr Mahathir membangkitkan isu pengisytiharan harta dibuat Ahmad Zahid semasa dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO termasuk memiliki RM230 juta dalam akaun banknya.

Bagaimanapun Dr Mahathir  menyatakan beliau tidak mempunyai bukti hitam putih berhubung dakwaan itu.

Sementara itu, Hishammuddin berkata tiada keraguan dan syak wasangka langsung bahawa  Dr Mahathir ialah individu yang hendak menjatuhkan Najib  sebagai perdana menteri sepertimana  didedahkan Ahmad Zahid yang turut mengaku mempunyai bukti dalam bentuk rakaman.

Kata beliau  dan perdana menteri sememangnya mengetahui tentang perjumpaan Ahmad Zahid dengan Dr Mahathir itu.

“Zahid jumpa Tun sebagai tanda hormat dan ingin mengetahui apa yang terbuku dalam hati Tun. Jadi di sini tiada isu,” katanya.

Hishammuddin berkata Dr Mahathir selama 22 tahun memerintah banyak melakukan kesilapan dan sekarang beliau berusaha mencari  kesalahan pemimpin sekarang   kerana  mempunyai agenda tersendiri.

“Janganlah kita ikut rentak  pembangkang.  Mereka bukanlah malaikat yang tidak pernah buat salah,” katanya dan menambah Dr Mahathir turut dilabel dengan pelbagai gelaran  tidak baik selama beliau menjadi   perdana menteri .

0 comments:

Post a Comment