KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Rakyat Malaysia daripada generasi lama dan baharu mewakili beberapa kumpulan masyarakat berpeluang berinteraksi dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam suasana santai pada satu sesi yang dinamakan “Negaraku Merdeka Bersama Perdana Menteri”, di sini baru-baru ini.
“Hari ini saya memilih untuk melakukan kelainan, di mana perutusan dan mesej hari merdeka saya ingin sampaikan dalam suasana lebih santai, tidak formal, lebih mesra,” kata Perdana Menteri membuka bicara pada sesi itu.
Kumpulan rakyat Malaysia itu adalah undangan khas ke acara rakaman majlis penyampaian Perutusan dan Amanat Merdeka oleh Perdana Menteri, yang julung-julung kalinya diadakan secara sesi townhall dan disiarkan oleh semua stesen televisyen tempatan pada pukul 11 pagi ini.
Mereka termasuklah pelajar sekolah, ahli akademik, pekerja professional, atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, anggota pasukan keselamatan serta dua orang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menurunkan bendera Union Jack British dan menaikkan serta mengibarkan bendera Persekutuan Tanah Melayu buat pertama kalinya pada 31 Ogos, 1957.
Pada tahun-tahun sebelum ini, Perutusan dan Amanat Merdeka oleh Perdana Menteri disampaikan di tempat yang lebih formal.
Sesi townhall itu dimulakan dengan paparan video yang mengimbau kembali peristiwa kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 diikuti dengan kronologi kemajuan yang telah dikecapi negara.
Sebelum memulakan sesi itu Najib yang segak berpakaian kemeja berwarna merah hati dan seluar berwarna coklat disambut dengan mini koir kanak-kanak untuk menyanyikan lagu Negaraku disertai para hadirin.
Ditemani Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri di seluruh negara, nyanyian itu ternyata menyemarakkan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan, yang disambut pada hari ini.
Usai nyanyian itu, Perdana Menteri mengimbas kembali kenangan beliau sewaktu negara melalui hari pertama kemerdekaan, yang pada ketika itu beliau baru berumur empat tahun dan penuh dengan dunia permainan seperti kanak-kanak lain.
“Walaupun saya ini tergolong dalam kategori pra-merdeka, tapi terus terang, apabila negara kita mendapat kemerdekaan, saya berumur empat tahun sahaja. Tentu saya tidak ada ingatan di atas peristiwa yang sangat bermakna kepada kita semua.
“Namun saya dapat menceritakan, pengalaman saya, ingatan saya masih terpahat dalam minda saya adalah, sewaktu saya membesar di Federal Hill KL, di situlah saya masih ingat lagi, saya berbasikal, turun naik bukit dan sebagainya, saya ke sekolah, main bunga api, panjat pokok jambu, seperti mana anak muda buat.
“Saya lahir, membesar sama seperti anak-anak Malaysia,” katanya disusuli tepukan hadirin.
Sejurus itu Najib diajukan soalan oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa Gombak, Samuel Chau Jun Hao yang ingin tahu cabaran menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.
Sambil mengakui bahawa bukan mudah menjadi Perdana Menteri dalam sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya, Najib bagaimanapun berbangga kerana rakyat negara ini dapat hidup dalam keadaaan harmoni dengan menghormati semangat Perlembagaan dan Rukunegara.
“Susah Samuel. Tengok rambut saya,” kata Najib sambil mengusap rambutnya disertai tawa hadirin.
Najib kemudian menjelaskan, “kadang-kadang kehendak mereka itu bertembung antara satu sama lain, namun saya bersyukur bahawa kita telah dapat membentuk sebuah negara Malaysia,” katanya.
Hadirin kemudian mendengar pengalaman dari ahli sejarah tempatan merangkap Pengarah Pusat Kajian Institut Raja-Raja Melayu, Prof Datin Paduka Dr Ramlah Adam yang merakamkan ucapan penghargaan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak yang pada hayatnya sebagai Menteri Pelajaran telah memasukkan subjek Pendidikan Islam sebagai satu pendidikan utama.
Sesi itu turut menyaksikan penghargaan daripada seorang arkitek projek Mass Rapid Transit (MRT), Sarah Sofia Yahya yang berkongsi pengalamannya terlibat dalam projek mega pengangkutan awam negara.
Ia disusuli dengan ucapan penghargaan daripada atlet gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi dan Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan kepada rakyat Malaysia di atas sokongan padu dan tidak berbelah bahagi ke atas kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpr 2017.
Suasana di sesi tersebut kemudian bertukar hiba dan sunyi apabila tiba giliran seorang bekas pejuang kemerdekaan yang merupakan anggota Komando VAT 69, Tawel Jailani berkongsi momen ketika beliau dan rakan-rakannya memerangi musuh.
“Saya masih merasakan lagi bagaimana susah payahnya di medan perang untuk memerangi musuh dan melihat sendiri kawan-kawan saya gugur, ada yang cedera parah.
Dalam suasana begini, saya terkenang mereka yang telah pergi, gugur semasa berjuang sedangkan saya masih hidup. Sambutan Hari Merdeka ini adalah kerana jasa dan perjuangan mereka bersama kami di dalam hutan,” katanya sebak sambil mengesat air mata.
Hadirin kemudian dibawa mengimbau kembali detik pengisytiharan kemerdekaan enam dekad lalu oleh dua figura penting yang berperanan menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu, Mohd Sharif Kalam dan yang menurunkan bendera Union Jack, Oliver Culvelt Samuel yang sekali gus menandakan berakhirnya cengkaman penjajah.
Suasana di dalam dewan itu kemudian berubah secara tiba-tiba apabila Perdana Menteri bangun dari tempat duduknya dan terus berjabat tangan dan memeluk kedua-duanya sambil melaungkan perkataan keramat ; Merdeka yang turut disambut penonton.
Tumpuan kemudian terarah kepada Perdana Menteri yang berdiri di tengah-tengah khalayak penonton dan mula menyampaikan amanat dan perutusan merdeka kepada penonton yang tidak sabar-sabar menanti ucapan tersebut.
Antara amanat dan perutusan tersebut adalah berkaitan pengertian kemerdekaan, pencapaian dan kejayaan negara meliputi pembangunan dan ekonomi, komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat serta pengiktirafan Malaysia dijulang sebagai juara keseluruhan Sukan SEA KL 2017.
“Apa yang penting, kerajaan ini tidak mahu membuang masa terjebak dan melayan jalan percanggahan sebaliknya komited dan bertekad menumpu seluruh kudrat dan usaha merencana agenda kepesatan ekonomi demi maslahat rakyat terbanyak.
Mustahak jua kerajaan ini percaya dalam ikhtiar mengkhidmati rakyat, ia harus bersifat melangkau politik dan berorientasikan kepentingan rakyat,” tegas Najib.
Sesi kira-kira 45 minit itu kemudian diakhiri dengan suasana patriotik apabila semua hadirin berdiri dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan kemudian melaungkan ‘Merdeka’ dan Negaraku Malaysia.
0 comments:
Post a Comment