KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata prestasi ekonomi negara menjurus kepada keadaan yang lebih memberangsangkan apabila pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara suku yang kedua tahun ini mencecah 5.8 peratus.
Menurut beliau ia juga sekaligus memperlihatkan bahawa untuk enam bulan tahun ini negara telah mencapai pertumbuhan 5.7 peratus selain ‘reserve’ Bank Negara telah pun melebihi 100 bilion USD.
“Dan prospek akan datang mengikut badan-badan antarabangsa dan ‘financial analyst’ umumnya membuat ramalan bahawa ekonomi kita berada di atas landasan yang akan membawa kepada pencapaian pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi daripada masa-masa yang lalu.
“’Consumer sentiment’ pun kita lihat lebih positif dan ini bererti bahawa apa yang telah kita buat melalui dasar transformasi negara menerusi penekanan yang telah kita berikan seperti pelancaran MRT mendapat sambutan yang sangat positif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini, hari ini.
Kata beliau lagi kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada projek dan perkara yang ada kaitan dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Najib yang juga Presiden UMNO seterusnya berkata suasana hari ini memperlihatkan kesatuan dan ‘mood’ negara ke arah yang lebih positif dengan terlaksananya Sukan Sea ke-29.
“Majlis Tertinggi juga juga ambil maklum bahawa suasana ‘mood’ negara kita sehari dua ini nampak ke arah yang lebih positif dengan terlaksananya Sukan Sea ke-29… lihat sokongan rakyat boleh dikatakan memuncak di setiap venue pertandingan diadakan dan ahli sukan kita juga berhempas pulas untuk mencapai kejayaan demi negara.
“Mudah-mudahan kalau ‘trend’ ini berlanjutan nampak Malaysia ada peluang baik untuk menjadi juara dan kita akan tutup pada malam ambang merdeka. Seterusnya kemerdekaan negara akan disambut besar-besaran dan ada kelainan.
“Dengan keadaan yang positif ini saya berharap ianya akan mencerminkan penambahan keyakinan rakyat bahawa kita sedang membawa negara ke arah yang lebih baik dan kita dapat menyempurnakan kehendak serta aspirasi mereka,” ujarnya.
Pada sidang media yang sama, Datuk Seri Najib turut memaklumkan Malaysia menjadi negara pertama diberikan pengiktirafan oleh kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan ‘pre clearance’ kepada jemaah haji ke tanah suci Mekah.
“Menerusi kaedah ini, jemaah haji diberi clearance di KLIA sebelum mereka berlepas dan insya Allah mereka akan terus keluar tanpa melalui pemeriksaan pasport dan kastam apabila sampai di Jeddah dan di Madinah.
“Kaedah ini akan dilancarkan oleh Datuk Seri Zahid dalam tujuh penerbangan terakhir musim haji ini dan kita harap dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi ianya boleh dipanjangkan pada musim haji akan datang dan mungkin ibadat umrah juga dapat dilakukan. Ini satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada Malaysia,” katanya.
Menjawab soalan berhubung RCI Memali, Datuk Seri Najib menegaskan kerajaan tidak menolak ianya boleh diadakan tetapi ianya mestilah mendatangkan kebaikan dan masih menunggu reaksi serta pendapat masyarakat termasuk mereka yang terlibat dalam peristiwa tersebut sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad.
0 comments:
Post a Comment