Alhamdulillah, dalam lawatan saya ke Pulau Pinang hari ini, saya sempat menyempurnakan Majlis Lawatan Projek Perumahan Perumahan Kos Sederhana Casa Anggun, Sungai Nibong, iaitu sebuah projek perumahan JKP Sdn. Bhd.
Pulau Pinang merupakan antara negeri di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara atau NCER, yang maju dan berperanan sebagai penyumbang utama dalam sektor pembuatan dan pelancongan. Seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat di Pulau Mutiara ini, jumlah penduduk di negeri ini semakin bertambah ekoran penghijrahan penduduk dari negeri-negeri yang berdekatan dan bermastautin di Pulau Pinang untuk mencari rezeki. Ini menyebabkan permintaan terhadap unit kediaman dan komersial meningkat dengan ketaranya.
Sehubungan itu, permintaan yang tinggi bagi unit-unit kediaman telah menyebabkan para pemaju swasta membangunkan perumahan mewah yang di luar jangkauan Bumiputera, terutamanya di sebelah pulau. Keadaan ini berlaku kerana kuasa pembelian kebanyakan Bumiputera adalah sedikit dan terhad.
Malah, di dalam setiap perjumpaan atau perbincangan TN50, hampir setiap anak muda yang diberi peluang bercakap mengutarakan permasalahan isu pemilikan hartanah yang tidak mampu dimiliki oleh mereka. Pulau Pinang juga tidak terkecuali. Kita lihat kebimbangan di raut wajah anak muda meskipun ada di kalangan mereka yang bekerja tetap dan berkelulusan ijazah.
Oleh yang demikian, Kerajaan menjadikan perumahan sebagai salah satu agenda utama Kerajaan dalam memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Kewujudan pelbagai program dan projek perumahan diadakan untuk memudahkan rakyat memiliki rumah mengikut kemampuan.
JKP Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan juga sebuah agensi pelaksana kepada Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang. JKP telah mengambil peranan sebagai agensi Kerajaan yang bergiat aktif dalam membangunkan unit-unit kediaman dan komersial. Syarikat ini boleh dilihat sebagai antara pemacu utama bagi pembangunan sektor hartanah di negeri Pulau Pinang dalam menyediakan perumahan yang mampu dimiliki oleh golongan Bumiputera di Pulau Pinang.
Saya percaya JKP juga mampu bersaing dengan pemaju-pemaju swasta yang lain bagi menghasilkan projek-projek kediaman yang berprestij, moden serta di lokasi yang strategik tetapi yang pentingnya dijual dengan harga yang berpatutan dan mampu dimiliki oleh golongan Bumiputera.
Pendekatan yang diambil oleh JKP secara langsung memberi kesan positif bagi menangani isu kuasa pembelian dan pemilikan harta Bumiputera. Misi penubuhan JKP, berserta adanya tuju yang jelas telah membawa dapat meningkatan hak milik Bumiputera di Pulau Pinang selaras dengan dasar-dasar yang telah digariskan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.
Pencapaian JKP untuk memenuhi kuota hak milik Bumiputera pada tahap minimum 70% pemilikan di kesemua projek kediaman dan komersialnya sehingga kini amat membanggakan, walaupun kuasa pembelian Bumiputera yang agak terbatas.
Konsep ‘bina dan jual’ yang digunakan oleh JKP telah menarik minat sebahagian besar Bumiputera untuk memiliki unit-unit kediaman dan komersial di projek-projek milik JKP.
Kerajaan akan terus komited dalam usaha meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat Bumiputera selari dengan arus pembangunan perdana negara. Dalam hal ini, Kerajaan menyokong inisiatif JKP sebagai sebuah agensi pelaksana agenda pembangunan Bumiputera di Pulau Pinang. Kerajaan Pusat sentiasa mendengar suara-suara dan denyut nadi di peringkat akar umbi untuk terus membantu dan menyokong syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan dalam memenuhi kehendak rakyat.
Saya dimaklumkan bahawa Projek Perumahan Kos Sederhana Casa Anggun ini merupakan Projek Fasa ke-3. Projek ini terdiri daripada 2 blok pangsapuri 19-tingkat berkos sederhana. Terdapat 340 unit kediaman kesemuanya yang mana mempunyai keluasan seluas sama ada 800 atau 900 kaki persegi bagi setiap unit. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mei 2018.
Saya diberitahu walaupun Projek Casa Anggun ini merupakan suatu projek kos sederhana, kemudahan-kemudahan yang disediakan adalah setara dengan kemudahan seperti di kebanyakan kondominium. Kemudahan-kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, taman permainan kanak-kanak dan sebuah dewan juga disediakan kepada para penghuni pangsapuri ini.
Malah, saya juga dimaklumkan bahawa ketika Projek Casa Anggun ini dilancarkan pada 16 Julai 2017 yang lalu, sambutan yang diterima amat menggalakkan yang mana kesemua 340 unit rumah ini telah habis dijual kepada para pembeli Bumiputera dalam jangka masa 2 hari sahaja daripada tarikh pelancaran. Harga yang ditawarkan juga adalah berpatutan dan mampu dimiliki dengan harga minimum sebanyak RM324,000 seunit.
Isu perumahan amat dekat di hati saya. Saya ingin tekankan di sini bahawa Kerajaan amat serius dan sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan selesa serta mampu disewa atau dibeli oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kerajaan sentiasa memastikan mutu kehidupan rakyat terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Kerajaan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan demi mencapai objektif ini.
Oleh itu, melangkah ke hadapan, JKP harus meneruskan agenda murni pembangunan hartanah Bumiputera dengan berteraskan pendekatan yang inovatif dan mesra pasaran. Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh JKP adalah berkesan dalam menangani isu kuasa pembelian Bumiputera dan diharap usaha murni ini diteruskan dan dipertingkatkan lagi demi memartabatkan Bumiputera di Pulau Pinang.
Akhir sekali, sekalung tahniah dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan dan seluruh kakitangan JKP serta pihak-pihak yang terlibat atas kejayaan membina Projek Pangsapuri Casa Anggun ini. Adalah harapan saya agar JKP dapat terus memacu ekonomi negara dalam sektor hartanah demi kesejahteraan rakyat terutamanya golongan Bumiputera.
najibrazak.com
najibrazak.com
0 comments:
Post a Comment