Monday, 21 August 2017

Selangor, P. Pinang Di Gesa Mudahkan Dasar Perumahan Untuk Putrajaya


TASEK GELUGOR: Kerajaan negeri pimpinan Pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang hari ini diminta supaya memberi kelonggaran terhadap dasar perumahan yang dimajukan kerajaan persekutuan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata kerajaan negeri patut memberikan pengecualian dasar kepada Kerajaan Persekutuan demi membantu rakyat memiliki rumah.

“Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang perlu beri peluang kepada Kerajaan Persekutuan tetapkan spesifikasi yang patut untuk membina rumah untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek Taman Desa Ara Permai dan penyerahan kunci program “rent to own” (sewa untuk milik) Taman Desa Ara di sini hari ini.


Menurutnya, dalam soal perumahan ini, semua pihak harus mengetepikan politik untuk membantu rakyat memiliki rumah.

“Rakyat yang akan rugi kerana rumah-rumah di bawah kerajaan persekutuan ditawarkan dengan pelbagai subsidi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan persekutuan memberi RM17.7 juta di Pulau Pinang sebagai kos membaiki rumah-rumah kos rendah.

“Kami membantu rakyat tidak kira kawasan dan negeri kerana projek perumahan penting untuk semua,” katanya.

Sementara itu, Noh juga mencadangkan supaya pihak pemaju mengkaji pembinaan semula kediaman 5 tingkat ke bawah yang lama di seluruh negara.

Katanya, cadangan itu bagi memastikan pembangunan di negara ini bergerak seiring dengan perubahan semasa, selain turut menitikberatkan beberapa aspek lain.

“Aspek utama yang kita lihat adalah rumah berstrata 5 tingkat ke bawah ini tidak dilengkapi kemudahan lif yang akhirnya akan menyukarkan penduduk dalam kalangan warga emas,” katanya.

Terdahulu, beliau turut meluluskan peruntukan RM1.3 juta untuk penduduk flat Taman Desa Sena yang berusia 15 tahun untuk mengecat, membaiki tangki air dan ganti railing. - FMT

0 comments:

Post a comment