Wednesday 23 August 2017

Seramai 10,000 JKKK/JKKKP/JKKOA Tekad Bantu Kerajaan Perangi Politik Fitnah


KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Orang Asli (JKKKOA) seluruh negara hari ini melahirkan janji untuk terus membantu kerajaan memerangi politik fitnah yang dimainkan oleh pembangkang bagi merosakkan minda rakyat.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), pembangkang dilihat semakin agresif memainkan politik fitnah memburukkan imej kerajaan, oleh itu JKKK/JKKKP/JKKOA yang diibaratkan tiang seri kerajaan haruslah membantu turun ke akar umbi memberi penerangan dan menjelaskan segala usaha kerajaan.


Beberapa Pengerusi JKKK yang hadir ke majlis Perhimpunan JKKK/JKKP/JKKOA di Dewan Tun Razak 1, PWTC hari ini, menyatakan rasa untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd Razak bagi menangani politik fitnah.

Bagi Pengerusi JKKK Kampung Pulau Jawa Pekan, Mohd Yusuff Mohd Idrus 64, peranan JKKK sangat penting selaku tiang seri kerajaan, oleh itu pendekatan dengan penduduk kampung perlu dilakukan bagi mendapat maklumat sebenar.

“Selain itu pendekatan dengan masjid, orang muda dan sebagainya turut perlu dilakukan selain turun ke bawah berjumpa orang perseorangan,” ujarnya.

Pengerusi JKKK Alor Melintang, Alor Setar, Abdul Malik Saad 51, pula mengakui politik fitnah memang semakin kritikal.

“Oleh itu JKKK harus membantuk kerajaan untuk menyampaikan maklumat sebenar yang tepat dan berdasarkan fakta kepada orang ramai.

“Jika hendak menggunakan media sosial agak tidak kena kerana orang kampung tidak pandai internet jadi saya menggunakan pendekatan orang perseorangan dan melalui kedai-kedai kopi,” ujarnya.

Bagi Mahadi Sahaban 58, yang menjadi ketua kampung di Johor, ketua kampung harus menyiapkan diri dengan ilmu khususnya dengan masalah yang sedang dihadapi oleh pemimpin Negara seperti fitnah dalam isu pendidikan dan ekonomi.

“Bila ada ilmu kita dapat membantu kerajaan untuk memerangi fitnah pembangkang. Sebab itu ilmu amat penting untuk kita berdepan dengan masyarakat kampung bagi menjawab segala kemusykilan mereka,” katanya.

0 comments:

Post a Comment