TASEK GELUGOR, 31 Ogos – Kerajaan negeri Pulau Pinang sepatutnya mengikut syarat dalam proses permohonan projek Tambakan Laut Bahagian Selatan Pulau Pinang termasuk menunggu laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mendapatkan kelulusan.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata kerajaan persekutuan akan bersikap adil dalam memproses permohonan projek itu bukannya dipengaruhi faktor politik.
“Kerajaan negeri tidak perlu bimbang kerana kerajaan persekutuan buat keputusan bukan atas kepentingan politik semata-mata kerana kalau ikut (politik) tak kan pelbagai projek dilaksanakan di negeri ini.
Sejak lapan tahun lepas mereka mentadbir Pulau Pinang, kerajaan persekutuan melaksanakan pelbagai projek mega membabitkan perbelanjaan lebih RM20 bilion. Itu bukti (kerajaan persekutuan) tidak sesekali meletakkan perbezaan politik dalam membuat keputusan, semua untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (Penbex) 2017 di Dataran Transformasi Usahawan, Kubang Menerong di sini malam tadi.
Semalam, kerajaan DAP Pulau Pinang berharap kerajaan persekutuan bersikap adil dalam memproses permohonan projek Tambakan Laut Bahagian Selatan Pulau Pinang.
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata penilaian terhadap cadangan projek tambakan laut itu perlu dipertimbangkan berdasarkan faktor teknikal dan faedah kepada rakyat di negeri ini, bukannya dipengaruhi faktor politik.
Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar di Permatang Damar Laut di sini bernilai RM46 bilion bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.
Sementara itu, Zainal Abidin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata penganjuran Penbex tahun ini berjaya mencapai sasaran malah jumlah hasil jualan melebihi sasaran awal RM1.8 juta iaitu lebih RM2 juta.
“Dalam penganjuran Penbex 2016 hasil jualan berjaya dikutip sebanyak RM1.5 juta tapi tahun ini dapat RM2 juta malah jumlah pengunjung juga melebihi sasaran 80,000 orang sepanjang enam hari penganjuran ekspo membabitkan lebih 300 usahawan itu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment