Monday 14 August 2017

Tindakan Menjauhkan Diri Dari Norlela Tidak Wajar


GEORGETOWN - Tindakan PKR Pulau Pinang yang menjauhkan diri dari Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin dilihat satu perbuatan tidak wajar dan amat menyedihkan berikutan beliau hanya menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Adun Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad berkata, beliau terkejut dengan laporan dari sebuah portal yang menyatakan Norlela di pulau oleh PKR Pulau Pinang kerana mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas serbuan dibuat ke atas sebuah kilang haram di Permatang Pauh.

Sambil menyatakan sokongannya terhadap Norlela, Muhamad Farid berkata, tidak wajar Norlela diperlakukan seperti itu kerana beliau hanya mahu keadilan kepada rakyat di kawasannya.

"Jika benar berlaku seperti mana laporan itu, ia amat mendukacitakan. Ini kerana, Norlela hanya mahukan keadilan dan pembelaan kepada penduduk dan pengundi di kawasan yang diwakili beliau dan PKR. Mengapa perlu menjauhkan diri darinya hanya kerana beliau mengucapkan terima kasih ke atas usaha SPRM itu?

"Adalah amat tidak wajar dan tidak adil beliau disisihkan hanya kerana menyokong tindakan SPRM kerana mengambil tindakan ke atas isu yang beliau bangkitkan untuk tindakan pihak berkuasa Kerajaan Pulau Pinang dua tahun lalu," katanya menerusi kenyataan medianya, hari ini.

Terdahulu, PKR Pulau Pinang dilaporkan menjauhkan diri daripada Norlela kerana mengucapkan terima kasih kepada SPRM yang  mengambil tindakan terhadap isu kilang haram di Seberang Perai.

Ucapan penghargaan itu disiarkan di Facebooknya selepas Exco Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh ditahan SPRM Jumaat lalu kerana disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan kuasa.

Tindakan Norlela itu juga dikatakan keterlaluan kerana SPRM dilihat hanya mensasarkan pembangkang dan ikan bilis, bukan jerung besar seperti mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB.

Muhamad Farid berkata, sebagai sebuah parti yang kononnya memperjuangkan keadilan kepada semua rakyat, PKR sepatutnya menyokong tindakan Norlela. - sinar

0 comments:

Post a Comment