Thursday 31 August 2017

Umat Islam Diminta Hayati Aidiladha, Pupuk Semangat Perpaduan – Najib


KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam di negara ini menghayati sambutan Hari Raya Aidiladha kerana perayaan itu dapat memupuk semangat perpaduan sesama rakyat Malaysia dan umat Islam amnya.

Perdana Menteri berkata​ menerusi ​​​​ penghayatan itu, umat Islam  di negara ini dapat menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati dan sanggup berkorban, di samping menghindari sikap mementingkan diri sendiri.

“Umat Islam yang mengabaikan prinsip-prinsip perpaduan, akan membuka ruang dan peluang kepada musuh-musuh Islam untuk menerobos, melemahkan serta menghancurkan Islam dan umatnya.

“”Sesungguhnya, perpaduan dan keamanan yang dikurniakan ini adalah nikmat yang sangat berharga dan wajib dipertahankan.

“”Bahkan, adalah wajib untuk kita berlaku adil sesama manusia walaupun daripada golongan yang berbeza agama dan kepercayaan,” katanya menerusi perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dalam blognya www.1Malaysia.com.my.

Najib berkata sambutan Aidiladha kali ini juga amat istimewa kerana bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan pada hari ini dan meraikan kejayaan Malaysia muncul juara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berakhir semalam dengan pungutan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Perdana Menteri juga berkongsi kegembiraannya apabila tahun ini menyaksikan Malaysia  menghantar bilangan jemaah haji yang teramai dalam sejarah negara.

“Kita merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang telah memudahkan pengurusan jemaah haji Malaysia kerana kita merupakan negara pertama di dunia dibenarkan untuk menjalankan program prapelepasan jemaah haji pada tahun ini di mana jemaah haji kita tidak perlu lagi menjalani proses pemeriksaan pasport dan kastam di Makkah dan Madinah.

“”Nikmat ini juga atas asbab hubungan akrab kita dengan pemerintah Arab Saudi yang sentiasa kita semai dan pelihara selama ini,” katanya.

Beliau seterusnya mengajak umat Islam meraikan hari kebesaran itu dengan penuh rasa kesyukuran dan keimanan, selain mengukuhkan silaturahim agar dapat melahirkan satu ummah ÿang berjaya di dunia dan di akhirat.

0 comments:

Post a Comment