Friday 25 August 2017

UMNO Bukan Parti ‘Orang Kampung’, Kata Najib


JOHOR BAHRU, 25 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata UMNO bukannya parti ‘orang kampung’ atau luar bandar, sebaliknya boleh hidup segar di bandar.

Presiden UMNO itu berkata kejayaan UMNO Johor Bahru contohnya, membuktikan parti ditunjangi orang Melayu itu terus mendapat sokongan rakyat walaupun bandaraya Johor Bahru menjalani proses urbanisasi.

“Saya amat tertarik dengan kejayaan UMNO Johor Bahru kerana dalam peta politik tanah air kita, apabila berlaku fenomena urbanisasi, perubahan demografi serta pembangunan begitu pesat di pusat bandar, maka, sedikit demi sedikit, lama kelamaan, kawasan-kawasan tersebut (pusat bandar) beralih tangan daripada UMNO atau Barisan Nasional (BN) menjadi kawasan pembangkang.

“Tidak ada ibu negeri yang kekal kepada kawasan UMNO dan BN tetapi tahniah kepada UMNO Johor Bahru yang dapat mengimbangi proses urbanisasi dan mengekalkan pengaruh UMNO dan BN.

“Mungkin berdasarkan pada hakikat ini, kalau ada mana-mana berpendapat UMNO parti orang kampung atau luar bandar, maka, UMNO JB telah menunjukkan bahawa tidak semestinya sokongan kita di luar bandar sahaja tetapi di bandar pun UMNO boleh segar,” katanya.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Johor Bahru di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

0 comments:

Post a Comment