Friday 29 September 2017

500 Anggota, Pegawai Rela Bantu Pantau Keselamatan Di Esszone – TPM


LAHAD DATU, 29 Sept – Kira-kira 500 anggota dan pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Sabah akan terlibat dalam projek rintis membantu agensi-agensi keselamatan memantau keselamatan di 10 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dalam tempoh terdekat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata anggota dan pegawai Rela berkenaan akan berfungsi sebagai barisan kedua dalam tugas pemantauan keselamatan di kawasan Esszone yang mempunyai pantai sepanjang lebih 1,700 kilometer.

“Keterlibatan mereka di dalam membantu (anggota keselamatan) telah diluluskan dalam mesyuarat Lembaga Penasihat Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) pada hari ini. Ketua Pengarah Rela sendiri telah membentangkan (rancangan itu) dalam mesyuarat hari ini.

“Namun kita harus mempunyai keyakinan bahawa agensi-agensi penguat kuasa akan tetap menjalankan tugas mereka dan Rela akan membantu bagi melakukan pemantauan keselamatan bagi tempoh 24 jam di lokasi-lokasi yang telah ditentukan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Bersama Lembaga Penasihat Esscom dengan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata demikian selepas beliau dan Musa mempengerusikan mesyuarat lembaga itu di sini, hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Ketua Pengarah Keselamatan Negara Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Lt Jen Datuk Abdul Halim Jalal, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Laksamana Maritim Datuk Indera Zulkifili Abu Bakar, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din dan Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali.

Menurut Ahmad Zahid, sebanyak 6,148 anggota dan pegawai Rela yang aktif di seluruh Sabah akan digerakkan untuk membantu agensi keselamatan memantau keselamatan di Esszone selepas pelaksanaan projek perintis itu kelak .

Katanya pada masa ini terdapat 121,888 anggota dan pegawai Rela berdaftar di Sabah.

“Kita akan umumkan (pelaksanaan projek perintis) dalam waktu terdekat tetapi untuk peringkat awal ini, kita telah melakukan persediaan termasuk akan memberikan latihan (termasuk aspek perundangan) kepada pegawai dan anggota berkenaan (sesegera mungkin). Anggota dan pegawai Rela mengetahui muka bumi di semua kawasan di mana mereka berada.

Mengenai peranan yang bakal dilakukan oleh anggota dan pegawai Rela berkenaan sebagai barisan kedua, Ahmad Zahid berkata mereka akan terlibat dalam aktiviti pendampingan sosial dan komuniti.

Selain penugasan Rela di kawasan Esszone, mesyuarat hari ini juga antara lain memutuskan supaya pos-pos Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) akan ditambah baik.

Selain itu masalah kekurangan bekalan logistik untuk operasi harian akan ditangani dengan kadar segera agar tidak menjejaskan semangat anggota pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan Esszone.

Mesyuarat turut bersetuju bahawa tahap keselamatan di perairan timur Sabah sangat penting dan perlu dikawal rapi, keperluan dari segi aset yang mencukupi, latihan simulasi dan prosedur operasi standard (SOP) perlu dimantapkan sesuai dengan keadaan geografi di kawasan Esszone di dalam mengawal keselamatan perairan Sabah yang merupakan destinasi tarikan pelancong.

0 comments:

Post a Comment